Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersatu cabar pembekuan akaun di mahkamah

Bersatu kini beralih kepada mahkamah untuk mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun bank parti politik itu.

Peguam parti itu dari Chetan Jethwani & Company memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui e-filing malam tadi.

Melalui tindakan undang-undang itu, Bersatu mencabar keputusan SPRM untuk membekukan dua akaunnya - satu di CIMB Islamic Bank Berhad dan satu lagi di AmBank (M) Berhad.

Parti pembangkang itu juga berusaha untuk membatalkan keputusan Jabatan Imigresen yang mengenakan larangan perjalanan ke atas presidennya Muhyiddin Yassin.

Pada 1 Feb, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengesahkan bahawa akaun Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Tindakan undang-undang itu bukan sahaja menamakan SPRM tetapi juga Jabatan Imigresen dan kerajaan persekutuan.

Menurut salinan afidavit menyokong semakan kehakiman, sekretariat kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya berhujah bahawa pembekuan akaun adalah sebahagian daripada konspirasi jahat kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.

Suhaimi mendakwa perkara itu dapat dilihat melalui Anwar, pada minggu pertamanya sebagai perdana menteri, mengeluarkan dakwaan bahawa pentadbiran terdahulu di bawah Muhyiddin telah menyalahgunakan RM600 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi.

Menerusi afidavit berasingan untuk menyokong cabaran terhadap larangan perjalanan, Muhyiddin berhujah bahawa dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap Bersatu serta dirinya dan ahli keluarganya bermotifkan niat untuk memupuk kebencian dan kemarahan orang ramai terhadapnya, selain merosakkan imej parti.