Syarikat pembuat sarung tangan didakwa 'buruh paksa', tak bayar gaji pekerja
Dua puluh pekerja Bangladesh didakwa bekerja di bawah keadaan buruh paksa dan tidak dibayar gaji sekurang-kurangnya RM7,000 setiap seorang.
Pekerja berkenaan berhenti kerja dan melarikan diri dari majikan pembuat sarung tangan lateks dan kondom SSN Medical Products Sdn Bhd di Balakong, Selangor.
Kumpulan pekerja Bangladesh itu memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat berkenaan kemudian menggantikan mereka dengan pekerja kontrak Myanmar.
Menurut Khan Sagor, 34, yang mewakili pekerja Bangladesh itu, enam daripada mereka adalah pekerja yang telah merayu untuk dihantar pulang selepas gagal dalam ujian perubatan mereka tahun lalu - tetapi rayuan mereka tidak didengar.
Khan berkata hanya seorang pekerja dihantar pulang kerana terlantar beberapa bulan.
Mereka menuduh pengurusan syarikat tidak membayar gaji sejak beberapa bulan pada 2019 hingga 2021, selain kerja lebih masa dari tahun lepas.
Tiga pekerja berkenaan melakukan mogok lima hari pada Disember lalu dan mogok kedua pada Februari, selama lapan hari.
Bagaimanapun, mereka tidak berjaya mendapatkan semula semua gaji tertunggak.
“Majikan gembira pekerja berhenti kerana dia menjimatkan antara RM7,000 dan RM8,000 setiap pekerja untuk gaji tertunggak yang dia tidak perlu bayar sekarang.
"Pekerja yang berhenti dengan cepat digantikan dengan pekerja kontrak Myanmar, yang menunjukkan kepada kami bahawa terdapat perniagaan yang berterusan untuk syarikat itu," kata Khan.
Pekerja melarikan diri walaupun takut akibatnya
Khan berkata ini walaupun Jabatan Buruh menyerbu kilang dan kuarters pekerja minggu lepas.
“Kira-kira 13 pekerja telah melarikan diri sebelum serbuan tetapi tujuh lagi pekerja melarikan diri selepas serbuan kerana mereka terdesak dan hilang kepercayaan,” katanya.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa menyatakan bahawa pelbagai penunjuk buruh paksa termasuk sekatan terhadap kebebasan pekerja bergerak, menahan gaji atau dokumen pengenalan diri, keganasan fizikal atau seksual, ancaman dan ugutan atau hutang penipuan yang mana pekerja tidak boleh melarikan diri.
Khan menyifatkan situasi mereka sebagai satu yang menyedihkan kerana mereka keberatan untuk berhenti tanpa pasport atau visa kerja dan bimbang tidak didokumenkan.
"Semua pasport kami telah ditahan dengan alasan untuk memperbaharui permit kerja kami tetapi itu juga tidak pernah dilakukan," katanya.
Katanya, mereka telah berusaha untuk mendapatkan gaji tertunggak, termasuk menghadiri beberapa sesi mediasi dengan majikan melalui Kedutaan Bangladesh, tetapi tidak berhasil.
“Kami juga diberitahu bahawa pihak kedutaan akan mengeluarkan kami daripada SSN Medical Products dan menempatkan kami dengan majikan yang boleh membayar gaji kami, tetapi kami tidak mendapat maklum balas daripada pihak kedutaan.
"Ramai di antara kami mula berhutang di negara asal kerana tidak dapat membuat kiriman wang secara tetap," katanya.
Syarikat dalam siasatan
Terdahulu, Jabatan Buruh dan Pertubuhan Keselamatan Sosial menyerbu syarikat itu berikutan aduan gaji yang tidak dibayar.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Buruh Muhammad Rifaee Muhammad Saleh berkata syarikat itu telah gagal membayar gaji lebih masa dan membuat potongan yang menyalahi undang-undang, lapor Utusan Malaysia.
Muhammad berkata syarikat itu disiasat di bawah Akta Kerja 1955, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 kerana ingkar caruman selama beberapa tahun.
Syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana tempat penginapan pekerja didapati tidak mencukupi.
Pengarah SSN Medical Products dan pemegang saham majoriti Clinton Ang enggan mengulas apabila ditanya sama ada dia tahu pekerjanya telah meninggalkan syarikat itu.
Menurut penyedia analisis data, emis.com, SSN Medical Products melaporkan peningkatan hasil jualan bersih sebanyak 116.11 peratus pada 2021 dengan jumlah pertumbuhan sebanyak 57.12 peratus.
Syarikat kejuruteraan pembinaan bersepadu Vizione Holdings Bhd membeli pegangan majoriti dalam SSN Medical Products pada 2020.
Pada masa itu, Vizione berkata kumpulan itu juga menjangka untuk menyuntik RM30 juta dalam perbelanjaan modal untuk meningkatkan tiga kali ganda kapasiti pengeluaran SSN Medical Products kepada 1.5 bilion sarung tangan setahun dari 2020 hingga 2022.
Laman web syarikat menyatakan ia telah mengeksport produknya ke seluruh dunia sejak 1997, termasuk ke Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan China.
Pekerja terperangkap
Adrian Pereira, pengarah eksekutif NGO hak buruh warga asing, North-South Initiative, berkata pengurusan pekerja asing di Malaysia memerlukan penetapan semula kerana prosedur semasa mencontohi sistem Kafala di Timur Tengah, yang mengekalkan pekerja terikat kepada majikan walaupun dalam keadaan dieksploitasi .
“Pekerja di sini terperangkap dalam keadaan buruh paksa, tetapi walaupun terdapat sistem yang membolehkan pekerja asing menukar majikan, peluang untuk berbuat demikian adalah sangat terhad dan hampir mustahil untuk pekerja warga asing yang tidak bergitu celik huruf untuk manfaatkan.
“Ramai pekerja merungut kerana terpaksa mengeluarkan RM8,000 sebagai yuran pelarasan semula dan ini menunjukkan sistem pemantauan mempunyai beberapa kelemahan yang serius.
"Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar benar-benar perlu menunjukkan bahawa mereka serius dalam menangani buruh paksa di negara ini," kata Adrian.
Pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira
Dia juga melahirkan kebimbangan bahawa pekerja SSN Medical Products yang kini masih bebas berada dalam situasi yang sangat terdedah.
Adrian menjelaskan bahawa pekerja yang melarikan diri daripada keadaan buruh paksa mereka kini dianggap sebagai pendatang tanpa izin dan terdedah kepada penangkapan dan terjerumus ke dalam kitaran hutang baru untuk mendapatkan pekerjaan baru.
"Beginilah cara pekerja asing diperdagangkan di dalam negara," kata Adrian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai