Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Protes konvokesyen: Aktivis rayu dapatkan keterangan saksi dari polis

Bekas pengerusi Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke membuat rayuan bagi mendapatkan lapan kenyataan saksi yang direkodkan pihak polis bagi membantu siasatan kes yang dikaitkan dengan protes semasa konvokesyen di UM pada 2019.

Rayuan aktivis itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah berhubung keengganan Mahkamah Majistret membenarkan permohonannya untuk mendapatkan keterangan berkenaan bagi menguatkan hujah pihak pembelaan.

Pada 5 April tahun lepas, mahkamah majistret memerintahkan Wong membela diri dalam kes berkaitan bantahannya terhadap bekas naib canselor UM, Abdul Rahim Hashim.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap aktivis itu atas tuduhan dengan sengaja menghina dengan niat untuk mencetuskan ketegangan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Wong, Chan Yen Hui mengesahkan anak guamnya merayu untuk mendapatkan keterangan saksi yang direkodkan oleh pihak polis mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut afidavit bagi menyokong salinan permohonan yang difailkan di mahkamah majistret, Wong berhujah bahawa adalah "perlu atau wajar" untuk pasukan pembelaan diberikan dokumen berkenaan untuk memastikan keadilan semasa perbicaraan.

Antara lapan saksi itu adalah rakan seangkatan Wong ketika di UM.

Aktivis itu mendakwa bahawa permohonan itu adalah bona fide (dilakukan dengan niat baik), tidak menjejaskan mana-mana pihak, dan akan menjimatkan masa mahkamah dengan membolehkan pasukan pembelaan menemu bual saksi-saksi yang berpotensi untuk tertuduh.

Bagaimanapun dalam afidavit menyokong bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan itu, penolong penguasa Ong Seng Keong - pegawai penyiasat yang merekodkan kenyataan saksi bagi membantu siasatan terhadap Wong - berhujah bahawa dokumen itu bersifat ‘istimewa’ kerana ia komunikasi yang dilakukan dalam "kepercayaan rasmi" dengan polis.

Ong mendakwa langkah mendedahkan keterangan bertulis itu akan memudaratkan dan menjejaskan kepentingan awam kerana ia mungkin menghalang saksi dalam kes lain daripada tampil dan memberikan kenyataan mereka kepada polis bagi membantu siasatan.

Pegawai polis itu menegaskan bahawa keterangan bertulis itu dicop dengan perkataan “SULIT” mengikut Seksyen 16A Akta Rahsia Rasmi 1972.

Berhubung rayuan Wong untuk mendapatkan keterangan saksi daripada pihak polis, Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes pada 27 Mac.

Perbicaraan di peringkat pembelaan disambung esok di Mahkamah Majistret.

[Baca berita penuh]