Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kerajaan selamatkan Umno?

Media massa pagi ini melaporkan yang Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, telah bagi pengecualian kepada usul tambahan Perhimpunan Agung Umno 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan. 

Mereka juga melaporkan yang langkah menteri itu menyelamatkan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya. Demikianlah teruknya parti tua itu diperalat dan dimanipulasikan dari dalam dan luar. 

Saifuddin dipetik sebagai berkata: "Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Persidangan Umno, Kementerian berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1) (c) (14) Akta 832 kepada Umno berhubung keputusan usul tambahan yang diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang." 

Soalnya, adakah ini bermakna usul tambahan itu melanggar Perlembagaan Umno dan peraturan Perhimpunan Agung sehingga ia boleh dibatalkan? Kalau usul tiada pertandingan itu sah dan sempurna, mengapakah sampai perlu campur tangan dan pengecualian menteri? Bukankah memadai dengan pengesahan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) saja? 

Jawapan kepada kemusykilan di atas mungkin terkandung dalam perenggan berikut dalam kenyataan menteri: "...telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1) (c) (14) Akta 832 kepada Umno berhubung keputusan usul tambahan yang diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.” Maksudnya usul tambahan PAU itu tidak patuh kepada Akta Pertubuhan. 

Saya bertanya seorang sahabat yang kerjanya peguam dan beliau mengemukakan pandangan berikut: "Menteri tidak ada kuasa ambil alih tugas ROS. Kecuali apabila ada rayuan. Boleh bawa ke mahkamah kalau tidak setuju dengan keputusan menteri."

Tindakan menteri ini tentulah dengan pengetahuan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Bagi yang sudah lupa atau tidak tahu, terutama golongan muda, Anwar, Ahmad Zahid Hamidi dan Saifuddin adalah tiga sahabat yang sangat akrab sejak zaman Anwar dalam Umno lagi (1982-1998).

Pembabitan menteri dalam rancangan mengekalkan Ahmad Zahid sebagai presiden Umno ini mengukuhkan lagi hakikat betapa pentingnya beliau (Ahmad Zahid) kepada survival kerajaan campuran Anwar. Timbalan Presiden, Mohamad Hasan, hanyalah setakat pelengkap, pengiring dan penumpang tuah. 

Kalau dalam perisikan dan pengintipan, kita boleh kata yang Ahmad Zahid dan Mohamad ini adalah agen Pakatan Harapan/PKR dalam Umno. Atau lebih lembut, ayam tambatan. 

Perkembangan terbaru ini mengukuhkan analisis saya sebelum ini, iaitu Umno semakin hari semakin terikat dan bergantung kepada PH, khususnya PKR. Andaian Umno akan menjadi parti Melayu dalam PH semakin jelas. Cuma PKR tentu berhati-hati agar Umno tidak menjadi lebih kuat daripadanya. 

Dalam tampalan 12 Januari lalu saya menggunakan analogi semut dan afid. Semut adalah PH dan afid (kutu tumbuh-tumbuhan) adalah Umno. Dua makhluk halus ini wujud secara simbiotik. 

Dalam konteks yang lebih luas, masalah kita adalah ketandusan pemimpin kerana boleh dikatakan semua mereka terpalit dengan pelbagai masalah dan mereka pula keberatan menyerahkan kuasa kepada pemimpin pelapis. 


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times. Bekas penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad ini pernah bergiat bersama Bersatu sebelum meninggalkannya 2020 selepas bekas perdana menteri itu mengumumkan akan menubuhkan parti baru.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya hari ini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.