Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan stabil faktor Amazon melabur di Malaysia, kata Anwar

PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hasrat Amazon Web Services (AWS) untuk membuat pelaburan bernilai RM25.5 bilion di Malaysia adalah disebabkan kestabilan politik dan dasar pentadbiran kerajaan sedia ada.

Anwar menyambut baik pelaburan yang disifatkannya sebagai berkualiti itu dan menyuarakan keyakinan ia akan membantu pertumbuhan sektor ekonomi digital Malaysia.

“Kerajaan telah mengemukakan surat tawaran kepada Amazon Perkhidmatan Web (AWS Inc) pada 6 Disember 2019 bagi menarik minat AWS untuk membuat pelaburan di negara kita.

“AWS menunggu masa yang sesuai untuk memuktamadkan pelaburan mereka di Malaysia, mengambil kira saiz pasaran di negara kita yang agak kecil.

“Namun, hala tuju kerajaan dalam program dan inisiatif pendigitalan serta kestabilan kerajaan perpaduan pada hari ini merupakan antara faktor utama kepada keputusan AWS memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi ini di negara kita, dan ini merupakan satu kejayaan buat negara kita,” katanya pada sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta perdana menteri menyatakan apakah implikasi kepada ekonomi negara dengan komitmen pelaburan oleh AWS itu. 

Strategi pelaburan

Pada masa sama, Sim turut meminta Anwar menyatakan strategi kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dapat masuk ke Malaysia, memandangkan syarikat Tesla juga telah menyatakan komitmen pelaburan ke Malaysia

Anwar berkata pelbagai usaha telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam terus memastikan pengaliran masuk pelaburan asing berkualiti tinggi ke dalam negara, seperti yang telah dibentangkan semasa pembentangan Belanjawan 2023. 

Antaranya bagi merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi, selaras Dasar Pelaburan Baharu adalah penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Malaysia dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) yang akan menerajui usaha mengenal pasti pelaburan berkualiti tinggi, di samping mempercepat kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi. 

“Dengan komitmen pelaburan oleh AWS dan Tesla ini, saya yakin ia akan menjadi perintis untuk menarik minat lebih banyak pelabur asing bernilai tinggi dan menyertai mereka melabur di Malaysia,” katanya.