Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Imigresen sedia pertimbang permohonan lawat depoh tahanan

Jabatan Imigresen sedia mempertimbangkan permohonan daripada mana-mana kumpulan atau individu untuk membuat lawatan ke depoh tahanan, kata ketua pengarahnya Khairul Dzaimee Daud.

Bagaimanapun Khairul yang ditemui di Parlimen hari ini, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan sedemikian.

“Jika ada permintaan sedemikian, kita akan pertimbangkannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Keadaan kanak-kanak dalam tahanan Imigresen menarik perhatian masyarakat antarabangsa berikutan serbuan pelbagai agensi yang diketuai Jabatan Imigresen yang menahan 67 pendatang tanpa izin, termasuk 36 kanak-kanak, di penempatan pendatang asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan bulan lepas.

Susulan penahanan itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata pihak kedutaan diberi akses konsular untuk bertemu tahanan dan akan membantu proses mereka kembali ke Indonesia.

Hermono pada masa itu juga berkata keutamaan diberikan untuk memastikan perlindungan terhadap hak kanak-kanak selaras dengan konvensyen antarabangsa yang turut disertai Malaysia dan Indonesia, termasuk dalam kes tangkapan dan penahanan.

Khairul Dzaimee dalam pada itu menegaskan semua kanak-kanak dalam tahanan ditemani ibu bapa mereka.

“Kami akan memaklumkan pihak kedutaan untuk memproses dokumen perjalanan mereka.

"Sementara menunggu dokumen diproses, kita akan tahan mereka di depoh kita. Kesihatan, makanan dan segala-galanya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini beberapa pihak, termasuk pejabat Pesuruhajaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam dilaporkan memohon untuk melawat depoh tahanan Imigresen tertentu berikutan kes kematian dalam tahanan.

Susulan serbuan ke atas penempatan pendatang asing, termasuk di tanah milik persendirian, Khairul Dzaimee berkata Jabatan Imigresen berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk merobohkan semua struktur binaan yang telah dibina mereka.

“Sebarang tindakan yang perlu diambil terhadap pemilik tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan melalui majlis tempatan.

"Selepas operasi dilakukan, seperti di Cyberjaya baru-baru ini, kami berkongsi info dengan pihak berkuasa tempatan dan penempatan itu dirobohkan. Itu prosedur standard," jelasnya.

Pada masa sama, Khairul Dzaimee berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai barangan berharga milik pendatang asing yang dimusnahkan bersama penempatan mereka.

“Kita benarkan mereka menyimpan barang berharga mereka semasa ditahan,” katanya.

Semalam, operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan membongkar satu lagi penempatan pendatang asing di atas tanah milik persendirian di Bandar Ainsdale, Seremban.

Operasi itu menemui struktur rumah kayu, kedai runcit dan surau di tapak seluas kira-kira dua padang bola.