Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP: Siasat insiden mayat orang lain di rumah, anak masih hidup

PARLIMEN | Kerajaan digesa menjalankan siasatan bebas berhubung insiden yang melibatkan sebuah keluarga yang dimaklumkan secara salah mengenai kematian anak mereka di penjara dan hampir menjalankan upacara membakar mayat yang dibawa pulang.

M Kulasegaran (PH – Ipoh Barat) menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap pegawai penjara yang cuai dalam kejadian ini dan meletakkan dua keluarga terbabit dalam tekanan perasaan.

Dia turut menyoal bagaimana keadaan itu boleh berlaku sedangkan semua banduan diberikan nombor pengenalan diri.

"Macam mana pendaftar kematian boleh keluarkan sijil? Di penjara semua orang memiliki nombor untuk identifikasi mereka, bagaimana 'orang hidup boleh keluar mati'," soalnya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Sedar k’jaan masih baru

"Adakah kerajaan rela minta maaf kepada keluarga bahawa anak mereka tidak meninggal dunia, bayar pampasan dan pastikan perkara ini tak berulang," katanya menjelaskan telah bertemu pihak keluarga.

Ahli parlimen DAP itu juga mengingatkan pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim bahawa kematian dalam tahanan tidak boleh diterima.

“Saya sedar kerajaan masih baru dan memerlukan masa untuk mengambil tahu perkara ini tetapi kematian dalam tahanan tidak boleh diterima.

“Dulu, kita berjanji bahawa tidak akan ada lagi kematian dalam lokap. Bolehkah ini dicapai?”

Semalam, dilaporkan sebuah keluarga di Negeri Sembilan yang berkabung beberapa hari di atas kematian anak mereka ketika dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh pada 28 Februari lalu, terkejut apabila mengetahui anak mereka masih hidup.

Beberapa jam sebelum upacara persemadian mayat, keluarga itu dimaklumkan oleh pihak penjara melalui panggilan video untuk memaklumkan bahawa anak lelaki mereka yang berusia 19 tahun masih hidup di dalam sel tahanannya.

Bapa pemuda itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chantren dipetik Sinar Harian berkata dia menyedari mayat itu tidak menyerupai anaknya selepas bedah siasat "kerana ada kesan jahitan selain rambutnya telah dibotakkan."

Untuk rekod, Kementerian Dalam Negeri menyatakan terdapat 11 kematian di lokap polis tahun lepas - sembilan Melayu, seorang Cina dan seorang warga asing.

Julat umur banduan yang maut di lokap membabitkan empat orang berumur antara 30 hingga 39 tahun; tiga orang berumur antara 40 dan 49 tahun, tiga orang berumur antara 50 dan 59 tahun, dan dua orang berumur antara 60 hingga 69 tahun.

Tahun lalu, Jabatan Penjara juga merekodkan sembilan kematian banduan lelaki. Daripada jumlah itu, ia melibatkan empat orang Melayu, tiga orang Cina, seorang India, dan seorang Vietnam.