Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli parlimen Johor mohon tambah bantuan banjir

Beberapa ahli parlimen Johor yang membahaskan belanjawan hari ini membangkitkan isu bantuan yang tidak mencukupi untuk lebih 40,000 mangsa banjir di seluruh negeri itu.

Aminolhuda Hassan (Pakatan Harapan-Sri Gading) meminta kerajaan menambah peruntukan RM50 juta yang diumumkan untuk kerja bantuan segera, di samping penyelarasan yang lebih baik oleh pihak yang membantu mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS).

"Kami meminta jumlah itu dinaikkan daripada RM50 juta kepada RM150 juta," kata Aminolhuda sambil menambah terdapat 25 PPS yang disediakan di bawah kawasannya.

Selanjutnya, Aminolhuda mengetengahkan aduan mengenai kelewatan dalam pengagihan kemudahan asas di pusat perlindungan, terutamanya selimut dan makanan.

Aminolhuda Hassan

"Kami mendapati pengedaran terlalu perlahan. Selepas tiga hari masih ada orang yang menunggu selimut. Itu boleh menimbulkan isu keselamatan," katanya.

Dia turut menggesa kerajaan menguruskan pengedaran makanan yang disediakan oleh syarikat katering tempatan dengan lebih baik, bagi mengelak kelewatan penghantaran.

"Syarikat-syarikat itu tidak sepatutnya menerima terlalu banyak tempahan...kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menambah bilangan katering," katanya.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) bangun mencelah dan membangkitkan isu yang sama mengenai makanan berkualiti rendah yang dihidangkan kepada mangsa banjir di PPS di kawasannya.

“Sekarang ini kita tidak tahu berapa peruntukan untuk setiap mangsa banjir,” kata Wee.

Wee Ka Siong

Semalam, Wee selepas melawat beberapa PPS berkata jumlah makanan yang dihidangkan tidak mencukupi dan penghantaran makanan juga sangat lewat, dengan sarapan hanya dihidangkan selepas 11 pagi, manakala ada yang makan tengah hari selepas 2 petang.

“Saya menggesa kerajaan untuk segera meneliti perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dalam perbahasannya mengingatkan kerajaan supaya mengetepikan sentimen politik dalam menghulurkan bantuan bantuan banjir.

Dia berkata ini termasuk kerajaan meluluskan peruntukan RM300,000 kepada semua ahli parlimen yang kawasan mereka terjejas banjir, bagi membolehkan mereka memberi bantuan segera kepada mangsa banjir.

Dalam mengalu-alukan peruntukan RM50 juta untuk Johor, Muhyiddin juga berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menambah jumlah itu kepada RM100 juta.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas lawatan ke Johor semalam berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat kerana keadaan telah bertambah baik.

Bagaimanapun, Anwar yang juga menteri kewangan berkata pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor akan disegerakan.