Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Hapuskan faktor pemecah belah sebelum bayangkan PM bukan Melayu'

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata Malaysia mesti menghapuskan faktor yang memecahbelahkan rakyat, termasuk sekolah vernakular, sebelum membayangkan bukan Melayu menjadi perdana menteri.

“Kewujudan sekolah vernakular khususnya mewujudkan aliran pengajaran tersendiri yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan anak-anak kita.

"Pengasas negara kita tidak akan bersetuju untuk membiarkan sekolah vernakular zaman British terus beroperasi selepas Merdeka, kerana mereka tahu ia akan mewujudkan lebih banyak perpecahan antara rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ahli parlimen Jerlun itu menjawab kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang pada Jumaat lepas bahawa dia tidak menjangkakan untuk melihat seorang perdana menteri bukan Melayu di negara ini dalam hayatnya, atau sepanjang hidup anak-anaknya.

Lim, yang berusia 82 tahun, memetik pemilihan Barack Obama, yang merupakan warga Amerika keturunan Afrika, sebagai presiden negara itu suatu ketika dahulu, memandangkan sejarah masyarakat orang kulit hitam sebagai hamba suatu masa dahulu.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata kanak-kanak harus dibenarkan "belajar, bermain dan bergaul" antara satu sama lain sehingga perbezaan antara mereka diraikan dan tidak memecahbelahkan.

"Barulah kita boleh berharap untuk melihat seorang bukan Melayu tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat Malaysia, tidak diwarnai oleh latar belakang etnik mereka. Walau bagaimanapun, secara meluas dipersetujui bahawa sistem pendidikan negara kita amat memerlukan rombakan sepenuhnya," katanya.

Menurut Mukhriz, menjadi rakyat Malaysia adalah tentang tanggapan berdasarkan kata-kata, tindakan, cara hidup, dan tingkah laku seseorang.

Dia menyatakan bahawa walaupun seorang warga Amerika keturunan Afrika, didikan, pendidikan, dan cara hidup Obama sepenuhnya adalah Amerika.

Perbandingan Malaysia-Thai

Mukhriz juga memetik beberapa perdana menteri Thailand berketurunan Cina, seperti Chuan Leekpai, Thaksin, dan Yingluck Shinawatra, serta Abhisit Vejjajeva, yang kemudiannya memimpin negara itu.

"Bagaimana ini dibandingkan dengan Malaysia? Malangnya, kita terus menyaksikan jurang sosial antara golongan kaya dan miskin, serta penduduk bandar dan luar bandar, ditambah lagi dengan perpecahan etnik. Perpecahan etnik seperti ini tidak ketara di Thailand.

"Satu sebab untuk ini mungkin sistem pendidikan. Orang Cina Malaysia mempunyai sekolah vernakular mereka di mana bahasa Mandarin, bukan bahasa Malaysia, adalah bahasa pengantar dari tadika hingga sekolah menengah. Malah ada yang melanjutkan pengajian tinggi di Taiwan, sepenuhnya dalam bahasa Mandarin," kata Mukhriz.

"Walaupun kebanyakan orang Cina Malaysia boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia, kefasihan mereka mungkin tidak sepadan dengan orang Cina di Thailand atau Indonesia dalam bahasa kebangsaan masing-masing," tambahnya, sambil menyatakan bahawa sebabnya mungkin semua warga Thailand dan Indonesia yang bersekolah mengikut sistem pendidikan kebangsaan masing-masing.

"Tidak seperti orang Cina Thai, yang sebati dengan etnik Thai lain, orang Cina Malaysia sering bertegas untuk mengekalkan bahasa, budaya dan cara berfikir mereka berasingan daripada majoriti orang Melayu. Ini hanya mengukuhkan penekanan kepada etnik dan mewujudkan perpecahan lagi dalam masyarakat," katanya.

Mukhriz berkata majoriti rakyat Malaysia akan terus memilih pemimpin yang paling mewakili kepentingan mereka.

“Jika bukan Melayu boleh meyakinkan majoriti orang Melayu untuk menyokong mereka, norma akan berubah.

"Bagaimanapun, melainkan sistem kita benar-benar menyatukan semua rakyat kita, ini akan kekal sebagai mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan," tambahnya.