Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ismail Sabri minta Zahid tunjuk surat kelulusan ROS

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob meminta Presiden Umno ,Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang didakwa meluluskan resolusi supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu bulan ini.

Ismail Sabri berkata, Ahmad Zahid perlu menjelaskan perkara itu kerana terdapat laporan media yang bercanggah mengenai kandungan surat ROS itu.

"Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat ROS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan sebab ada dua laporan media berbeza.

“Satu kata ROS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru. Saya pun baca laporan media juga,” kata bekas perdana menteri itu dipetik Berita Harian.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata dia tidak mempertahankan jawatan sebagai naib presiden kerana percaya keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi Umno adalah tidak selaras dengan perlembagaan parti.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Umno telah menerima surat daripada menteri dalam negeri yang mengesahkan ROS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Pada 20 Jan lalu, dua ahli Umno memfailkan notis bantahan kepada ROS berhubung ketetapan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu.

Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan Aizat Fikri Mohd Nasir mendakwa resolusi itu tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.