Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Tiada sebab munasabah SPRM perlu tahan bendahari Bersatu'

Bersatu menganggap penahanan seorang lagi pemimpin kanan parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanyalah sebahagian daripada tekanan yang dikenakan kerajaan.

Malah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, menganggap tidak ada keperluan buat SPRM menahan setiausaha agung parti terbabit, Mohamed Salleh Bajuri.

Hal itu kerana, kata Hamzah, pegawai kanan Bersatu itu memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

"Sebenarnya, tiada sebab yang munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman Datuk Mohamed Salleh Bajuri atas alasan siasatan kerana beliau sentiasa hadir dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya setiap kali diperlukan.

"Bersatu berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Mohamed Salleh adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin SPRM mengesahkan mereka menahan reman Mohamed Salleh selama dua hari untuk membantu siasatan dijalankan agensi antirasuah berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat menganggap siasatan ke atas vendor Bersatu adalah sebahagian daripada “pemburuan politik” kerajaan.

"Penyata kewangan Bersatu diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam persidangan agung tahunan.

"Tidak ada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan tersebut, yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah.

"Datuk Mohamed Salleh seorang bendahari agung yang beramanah dan berintegriti memastikan semua perolehan yang dibuat Bersatu telah melalui proses dan tatacara kewangan parti," katanya.

Mohamed Salleh Bajuri

Oleh demikian Hamzah menyeru kerajaan berhenti melakukan "pemburuan politik yang tidak berkesudahan" ke atas Bersatu.

"Terimalah hakikat bahawa pucuk pimpinan Bersatu tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang," tambahnya.

Mohamed Salleh mempunyai latar belakang sebagai ahli korporat sejak beberapa dekad lalu.

Dia dilantik menjadi bendahari agung parti berkenaan pada 2016.

Penangkapan reman Mohamed Salleh dibuat ketika Bersatu terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa, khususnya membabitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.

Dia merupakan bekas ketua penerangan Bersatu.

Bulan lalu, SPRM juga merekodkan keterangan daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhubung siasatan pihak berkuasa ke atas akaun bank parti terbabit yang kini masih dibekukan.