Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

100 hari Anwar: Penganalisis sambut baik kadar cukai, tangani ketidaksamaan

Sempena 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, penganalisis menyambut baik usaha perdana menteri merapatkan ketidaksamaan dan jurang sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, penganalisis mengingatkan bahawa perdana menteri itu perlu melalui banyak cabaran di hadapanya.

Penganalisis politik, Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, dia menyambut baik kadar cukai dalam belanjawan baru-baru ini yang akan menyaksikan cukai pendapatan individu bagi kumpulan M40 diturunkan sebanyak dua peratus, manakala kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan lebih RM100,000 dinaikkan.

“Pencukaian yang disasarkan adalah sangat penting untuk memberikan keadilan. Walaupun pendekatan ekonomi Anwar belum diumumkan sepenuhnya, sikap dan pendiriannya adalah menentang ketidaksamaan dan jurang ekonomi.

“Kita lihat beliau mengutamakan kebajikan golongan miskin dan kelas menengah bawah untuk memberikan keadilan sosial supaya jurang pendapatan dapat dikecilkan.

“Cukai ke atas barangan mewah dan tindakan lain yang memberi kesan kepada kumpulan T20 adalah lebih kepada pelarasan kepada sistem percukaian sedia ada.

“Kita harus ambil perhatian bahawa langkah-langkah yang diambil untuk merangsang ekonomi negara secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada kumpulan T20 juga,” katanya kepada Malaysiakini.

Awang berkata, kerajaan perpaduan setelah 100 hari penubuhannya, perlu dinilai secara menyeluruh.

“Setakat ini, beliau adalah perdana menteri yang berjaya mendapat undi percaya (melalui undi suara) dan dilihat memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat - yang tidak berlaku sejak 15 tahun lalu.

“Ini menggambarkan keyakinan dan mandat yang besar terhadap kepimpinan Anwar walaupun pembentukan kerajaan campuran sebelum ini dilihat rapuh,” kata Awang.

Anwar mendaki puncak kekuasaan bukan melalui jalan yang mudah.

Anak kepada bekas ahli parlimen Seberang Perai, Ibrahim Abdul Rahman itu pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika menjadi pemimpin pelajar pada 1974 sebelum mendaki kerjaya politiknya secara mendadak di dalam Umno.

Lima tahun dilantik sebagai timbalan perdana menteri, dia kemudiannya dipecat Dr Mahathir Mohamad pada 1998 dan menjadi ikon reformasi selepas dipukul ketika dalam tahanan.

Anwar juga pernah dipenjarakan sebanyak dua kali pada 1999 dan 2015 dan merupakan pengasas kepada PKR, sebuah parti berbilang kaum.

Meskipun gabungannya memenangi PRU14, dia diihalang menjadi perdana menteri menerusi Langkah Sheraton pada 2020.

Langkah itu bermula apabila Mahathir berusaha menerajui kerajaan dengan membentuk kerajaan tanpa menunaikan janji menyerahkan jawatan nombor satu negara itu kepada Anwar.

Bagaimanapun selepas PRU15 - Anwar kini menerajui kerajaan perpaduan - tanpa jaminan semua pembaharuan yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan akan dapat ditunaikannya.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2023, penganalisis politik, Khoo Kay Peng berkata kerajaan memberi tumpuan kepada keutamaan yang betul seperti kos sara hidup golongan B40 dan M40.

“Bagaimanapun, masalahnya berada pada perinciannya kerana respons fiskal dan kewangan mesti dapat memberi impak yang nyata.

“Sebagai contoh, peruntukan untuk keterjaminan makanan hampir tidak mencukupi untuk memastikan pengeluaran makanan tempatan terjamin. Kita perlu memberi tumpuan kepada mekanisme pelaksanaan dan bukan hanya geran.

“Kesempitan pendapatan juga merupakan isu yang perlu diselesaikan terutamanya apabila dunia menghadapi inflasi yang tinggi,” katanya.

Selain isu kos sara hidup, Khoo berkata kebanyakan pengundi mengharapkan penambahbaikan lain dalam meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Pembaharuan institusi perlu disegerakan seperti menambah baik mutu perkhidmatan awam untuk menjadikannya cekap.

“Banyak keluhan di kalangan rakyat jelata berkenaan pengangkutan awam dan kemudahan, banjir, dan projek lebuh raya yang sembarangan seperti PJD Link yang nampaknya lebih dipacu secara komersial daripada memberi penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan.

“Dan terdapat isu hubungan kaum yang perlu ditangani. Kerajaan perlu fokus untuk merapatkan jurang sosial supaya ahli politik yang tidak bertanggungjawab tidak mendapat manfaat daripada memainkan isu kaum dan agama,” tambahnya.

Pengarah BowerGroupAsia Adib Zalkapli juga berkata walaupun Anwar bermula dengan baik, namun harapan terhadapnya akan terus meningkat.

“Ini adalah kali pertama sejak 2008 Malaysia mempunyai kerajaan yang disokong oleh sekurang-kurangnya dua pertiga ahli parlimen. Kita juga menyaksikan Umno dan DAP yang merupakan seteru sesama sendiri dapat bersama buat kali pertama.

"Pelantikan Anwar sebagai perdana menteri juga merupakan penutup penting kepada krisis politik yang bermula pada 1998. Jadi, kerajaan ini mempunyai semua elemen kerajaan perpaduan," kata Adib kepada Malaysiakini.

“Bagaimanapun, ini juga bermakna rakyat secara amnya mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap kerajaan ini.

“Kerajaan perpaduan juga akan menghadapi ujian penting julung-julung kalinya hanya beberapa bulan selepas ia ditubuhkan apabila enam negeri mebubarkan DUN.

“Ia adalah tempoh yang sangat singkat untuk pentadbiran baru yang terdiri daripada sekutu baru,” katanya.