Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Semua pihak mahu damai di Selatan Thai - Ketua fasilitator

Semua pihak mahukan pendamaian di selatan Thailand dan aura pendamaian boleh dirasai di mana-mana.

Ini adalah kesimpulan yang dibuat Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin selepas lawatan kerja selama empat hari ke Selatan Thailand.

Zulkifli berkata lawatan kerjanya kali ini membawa mandat besar daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendengar, membina pemahaman, menawarkan pandangan, dan memudahcara dalam apa juga medium perundingan, bagi memacu usaha mencapai konsensus di antara kesemua pihak terlibat.

“Secara keseluruhannya, program lawatan kerja saya telah berjaya. Apa yang yang boleh saya boleh simpulkan, semua pihak mahukan pendamaian. Aura pendamaian dapat saya rasai di mana-mana.

Gambar fail, Zulkifli ketika menjadi Panglima ATM.

“Semoga lawatan kerja saya ini selaku Ketua Fasilitatorakan mewujudkan kerjasama erat untuk menjayakan rundingan damai,” katanya dalam satu kenyataan di Bangkok, hari ini.

Sebanyak 33 program telah diadakan sepanjang lawatan ke tiga wilayah di selatan Thailand - Pattani, Yala dan Narathiwat yang berakhir hari ini.

Zulkifli telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihal termasuk pihak akademia, badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani, Majlis Agama dan wakil penganut agama Buddha.

“Saya telah mendengar, memahami dan membina keyakinan bahawa suara mereka akan didengar dan dibawa ke meja rundingan,” katanya sambil menambah bahawa ia adalah satu platform di mana semua pihak boleh terlibat dalam proses dialog damai Selatan Thailand.

Sepanjang lawatan kerja kali ini, Zulkifli berkata beliau telah menyampaikan satu mesej “kedamaian adalah milik semua”.

“Malaysia sentiasa komited dalam memudahcara Kerajaan Thailand dan komuniti Patani untuk menyelesaikan konflik dengan adil, komprehensif dan berkekalan,” katanya.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Zulkifli selepas dilantik sebagai fasilitator baharu Malaysia untuk proses dialog damai di selatan Thailand berkuatkuasa 1 Januari 2023. Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sambutan yang saya terima semasa lawatan kerja saya sememangnya di luar jangkaan. Insya-Allah jika diberi peluang, saya akan hadir dan kembali ke Wilayah Selatan Thailand ini untuk bertemu dengan lebih ramai pihak lagi,” katanya.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand di antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10. Proses itu bermula apabila Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand pada ketika itu meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Thailand.

Berikutan itu, satu Konsensus Am di antara Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Basional (BRN) termeterai pada 28 Februari 2013.

Sementara itu, Zulkifli berkata Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Perdamaian (JCPP) sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024, merupakan kunci perdamaian di selatan Thailand.

Beliau berkata JCPP yang dipersetujui baru-baru ini dalam Mesyuarat Rasmi ke-6 Proses Dialog Damai di Kuala Lumpur telah membawa sinar harapan untuk menyelesaikan konflik wilayah itu.

Sehubungan itu, beliau berharap tiga perkara substantif iaitu pengurangan keganasan, konsultasi awam dan penyelesaian politik yang dipersetujui sebelum ini akan dapat dilaksanakan.

“Jika mesyuarat teknikal berjalan dengan lancar, konsultasi awam boleh bermula pada tahun depan. Namun, kesemua ini tertakluk kepada keputusan dan mesyuarat akan datang,” katanya.

- Bernama