Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wan Rosdy mahu isi 'kekosongan' jawatan naib presiden

Mengisi kekosongan - itu niat yang dibawa Menteri Besar Pahang apabila dia memutuskan untuk menawarkan diri menjadi salah seorang naib presiden Umno dalam pemilihan kali ini.

Kata Wan Rosdy Wan Ismail daripada tiga jawatan naib presiden yang ada, satu daripadanya sudah kosong apabila penyandangnya, Ismail Sabri Yaakob, tidak lagi mempertahankan jawatan tersebut.

Ahli parlimen Bera itu tidak menghantar borang pencalonan bagi mengekalkan jawatan naib presidennya selepas tarikh akhir ditetapkan pada Ahad lalu.

“Sebenarnya ada satu kekosongan (naib presiden). Ia ada tiga kerusi, penyandang ada dua (yang mempertahankan jawatan), itu salah satu sebab (saya bertanding)," katanya.

Selain Ismail Sabri, dua lagi penyandang naib presiden ialah Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid. Kedua-dua mereka sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatan tersebut.

Sebab kedua pula, kata Wan Rosdy, ialah apabila dia melihat sokongan rakyat terhadap Umno semakin terhakis.

"Kita (Umno) kena bangkit semula, kena bekerja sebagai satu pasukan.

“Mungkin sedikit sebanyak pengalaman saya selama mengurus dan mentadbir Pahang ini boleh saya bawa sekiranya diberi mandat untuk bersama kepimpinan parti,” katanya semasa sidang media khas di pejabatnya di Kuantan hari ini.

Kena laksanakan strategi

Untuk rekod selain Wan Rosdy, Mahdzir dan Mohamed Khaled, turut menawarkan diri untuk menduduki jawatan naib presiden Umno ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani; Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Azalina Othman Said (Pengerang) dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Reezal Merican Naina Merican.

Pada masa sama penyertaan Wan Rosdy juga dilihat menarik kerana ia menyaksikan seorang pengerusi Umno negeri menawarkan diri ke jawatan berkenaan.

Kali terakhir seorang pengerusi Umno negeri berbuat demikian ialah pada 2013 melalui Mohd Ali Rustam yang ketika itu menjadi ketua menteri Melaka.

Ditanya mengenai senarai calon yang bertanding kali ini, Wan Rosdy berpandangan semua yang menawarkan diri berkelayakan serta mempunyai kekuatan tersendiri.

"Cuma sekarang ini apa yang kita harapkan supaya perwakilan dapat memilih kombinasi, contohnya ada seorang menteri besar, ada ahli parlimen dan ada yang memegang jawatan lain di peringkat bahagian atau negeri.

“Saya harapkan yang pertama sekali kita mendapat mereka yang benar-benar setia dan kita tidak mahu sebagaimana ketika kita kalah PRU lalu (2018) ada yang ‘melompat’... itu kita tak nak.

“Dan saya percaya presiden memang mengharapkan barisan (pimpinan) yang setia sebagai satu pasukan jadi kita boleh meminimumkan masalah dalaman,” katanya lagi.

Adun Jelai itu juga mengakui terdapat masalah dalaman yang masih wujud dalam Umno dan ia perlu diuruskan dengan baik untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap parti itu dipulihkan.

Katanya ia memerlukan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Kita mempunyai sokongan akar umbi yang berstruktur, sebab itulah dalam keadaan tsunami (politik) macam mana pun, kita masih mampu bertahan,” katanya.

Wan Rosdy bagaimanapun percaya perwakilan Umno boleh membuat keputusan bijak dalam pemilihan kali ini.

Dia turut mengakui sedia menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka selepas proses pemilihan selesai pada 18 Mac ini.

Seramai 150,000 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara akan mengundi calon bagi jawatan naib presiden, MKT dan jawatan lain yang dipertandingkan.