Bekas pegawai bank sangat menyesal main peranan urusan 1MDB
KES 1MDB | Seorang bekas jurubank dengan BSI Bank cawangan Singapura yang telah diarahkan tutup menyatakan kekesalan yang amat besar atas penglibatannya dalam urusan dana yang melibatkan syarikat pelaburan negara Malaysia 1MDB.
Kevin Michael Swampillai memberi keterangan demikian semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Saksi pendakwaan ke-44, yang bersama BSI dari 2010 hingga 2016, memberikan jawapan itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Shafee merujuk keterangan lisan Swampillai tentang bagaimana dia dan beberapa orang lain di BSI berurusan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) melabur berbilion dolar dana 1MDB dan syarikat berkaitan lain dalam kaedah kabur (obscure) melibatkan lapisan transaksi dan menyembunyikan identiti syarikat pelanggan.
Shafee: Saya membaca pernyataan (saksi) kamu dengan teliti. Anda kini menyesal bagaimana anda terlibat dalam 1MDB dan SRC (bekas anak syarikat 1MDB) dan syarikat berkaitan?
Swampillai: Ya, sangat (menyesal).
Shafee: Sebab apa kamu sangat menyesal?
Swampillai: Akibat penglibatan saya dan tindakan saya amat teruk, itulah punca penyesalan. Saya harap saya telah bertindak secara berbeza berhubung beberapa tindakan saya.
Bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan bank itu memberi keterangan bahawa skala jenayah kolar putih berada pada kedudukan yang cukup tinggi, dengan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menutup cawangan BSI di Singapura pada 2016 berikutan skandal itu.
Lelaki kelahiran Malaysia berusia 58 tahun itu memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa kegagalan kolektif bank itu menyebabkan MAS mengambil tindakan kawal selia terhadap cawangan bank itu, dan bukannya kegagalan beberapa individu.
Pada 23 Okt 2020, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan larangan seumur hidup ke atas Swampillai berhubung urusan 1MDB.
Menurut portal web rasmi MAS, Swampillai dan pegawai bawahannya ketika itu, Yeo Jiawei, telah menyalurkan sebahagian daripada yuran pengurusan dana atau "keuntungan rahsia" - sebanyak AS$5 juta - kepada entiti yang dimiliki oleh Swampillai, tanpa pengetahuan dan kebenaran BSI.
Pihak berkuasa Singapura memaklumkan keuntungan rahsia itu berkaitan dengan tindakan kedua-dua individu itu yang telah membantu 1MDB untuk menyusun semula beberapa kepentingan usaha samanya.
‘BSI hanya berurusan terus dengan Jho Low’
Awal hari ini, semasa pemeriksaan utama oleh Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Swampillai memberi keterangan bahawa BSI tidak pernah berurusan secara langsung dengan mana-mana ahli lembaga pengarah 1MDB dan syarikat berkaitannya berhubung pelaburan luar pesisir yang "kabur" itu.
Bekas jurubank itu berkata bahawa mereka hanya berurusan dengan Low melalui bekas pengurus perhubungan bank itu Yak Yew Chee.
Kaedah pelaburan "kabur" yang dimaksudkan ialah dana fidusiari.
Mustaffa: Apabila dana fidusiari dipilih, adakah terdapat pertanyaan daripada SRC atau Menteri Kewangan (MOF Inc, pemilik muktamad SRC dan 1MDB) berhubung struktur (pelaburan) itu?
Swampillai: Tidak, tiada pertanyaan. Kami tidak pernah mendengar daripada syarikat pelanggan itu sendiri atau mendengar kembali daripada pekerja atau pengarah institusi tersebut. Hubungan itu hanya dengan Jho Low.
Saksi itu juga memberitahu pendakwa raya bahawa berikutan penyiasatan oleh MAS, dia telah memulangkan keuntungan rahsia hampir AS$6 juta kepada pihak berkuasa Singapura.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas perdana menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai