Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jho Low syak saya bocorkan hal 1MDB kepada media - bekas jurubank

Seorang bekas pegawai bank di cawangan Bank BSI Singapura berkata ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) mengesyaki berlaku kebocoran kepada media berkaitan urus niaga 1MDB.

Bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan bank BSI, Kevin Michael Swampillai, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa ia menjadi sebab mengapa Low mula mengurangkan peranannya dalam pelaburan dana untuk 1MDB mulai 2013.

Saksi pendakwaan ke-44 itu memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak berkaitan penyelewengan dana RM2.28 bilion syarikat berkenaan.

Menurutnya, pegawai bawahannya, Yeo Jiawei kemudian mula mengambil peranan yang lebih menonjol bagi pihak BSI.

“Penglibatan saya dalam transaksi ini dikurangkan secara beransur-ansur dari 2013 dengan pegawai bawahan saya \, Yeo Jiawei mengambil peranan yang lebih menonjol bagi pihak BSIS (BSI).

“Saya telah diketepikan secara efektif dan dikeluarkan daripada arus maklumat kerana Jho Low mula timbulkan kebimbangan mengenai kebocoran itu memandangkan meluasnya maklumat yang mula muncul di media pada masa itu.

"Saya disyaki menjadi punca kebocoran ini dan oleh itu diketepikan," kata Swampillai kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah sambil diperhatikan Najib dari kandang tertuduh.

Terdahuku Swampillah, 58, yang bekerja dengan BSI dari 2010 hingga 2016 - antara lain memberitahu bahawa Najib tahu tentang aliran dana 1MDB menerusi transaksi "kabur" melalui Bank BSI.

Bekas jurubank itu mendakwa bahawa Low - melalui pengurus perhubungan bank ketika itu, Yak Yew Chee - menyebabkan 1MDB dan beberapa entiti berkaitan melabur dalam dana fidusiari di bawah bidang kuasa luar pesisir, yang objektif utamanya menggunakan dana “untuk memudahkan pengaliran wang ke sesuatu destinasi pilihan mereka, di samping mengaburkan identiti pelabur”.

Semasa prosiding di hadapan Sequerah petang tadi, Swampillai mengimbas kembali bahawa Low diberikan penghargaan ketika makan malam bersama beberapa wakil 1MDB di Kuala Lumpur pada pertengahan 2012.

Saksi itu mengatakan Low menjadi "pusat perhatian dan tumpuan pendengar".

“Dia (Low) yang banyak bercakap dan semua orang mendengar.

“Pada masa itu, Jho Low berada dalam kedudukan sebagai (dianggap) penasihat kepada 1MDB dan SRC (bekas anak syarikat 1MDB).

"Beliau adalah orang yang menjadi tumpuan untuk membincangkan apa-apa kaitan dengan syarikat ini dan transaksi dalam akaun," kata Swampillai.

Ketika ditanya oleh timbalan pendakwa raya, Muhammad Mustaffa P Kunyalam semasa pemeriksaan utama, saksi itu mengakui semakin lama, semakin jelas bahawa Low bukanlah "pembuat keputusan tertinggi" ke atas entiti milik kerajaan itu.

Swampillai: Mereka (1MDB dan SRC) adalah entiti berkaitan kerajaan dan kebanyakannya berada di bawah menteri kewangan (melalui Menteri Kewangan Diperbadankan atau MOF Inc).

Mustaffa: Siapa menteri kewangan pada masa itu?

Swampillai: Najib.

Swampillai juga mengimbas semula yang Yak memberitahunya sekitar 2014 bahawa Najib telah membuat panggilan persidangan dari luar negara untuk bertanya mengenai pelaburan 1MDB.

“Saya mendengar Najib di TV banyak kali. Dia mempunyai suara yang tersendiri. Apabila panggilan persidangan (dilakukan), saya mengenali suara itu,” kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung esok.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.