Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ismail Sabri teruskan Jana Wibawa tapi cuma Bersatu jadi sasaran - Azmin

Meskipun berdepan tindakan saman, PN tetap dengan pendirian bahawa dakwaan rasuah yang menyelubungi program Jana Wibawa adalah konspirasi kerajaan terhadap gabungan itu.

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali menyoal mengapa hanya pemimpin Bersatu sahaja yang menjadi sasaran penyiasatan dan pendakwaan, sedangkan program itu diteruskan ketika Umno menerajui kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

"Jika Jana Wibawa yang menjadi fokus siasatan SPRM, saya tahu bahawa program ini diteruskan ketika kerajaan persekutuan diketuai BN, selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri.

"Malah banyak kelulusan projek diberikan ketika BN mengetuai kerajaan.

"Kenapa hanya pemimpin Bersatu yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan sedangkan pemimpin BN dikecualikan," soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Antaranya, Azmin membangkitkan bahawa pertuduhan terhadap bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan adalah bagi kesalahan yang didakwa dilakukan pada April 2022 untuk satu pertuduhan, dan antara Julai 2022 dan September 2022 untuk pertuduhan lain.

Sedangkan, katanya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagaimanapun telah meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos 2021.

Azmin mendakwa ini menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinan PH dan BN menggunakan institusi kerajaan untuk menganiayai lawan politik, bagi menjejaskan kredibiliti PN dalam pilihan raya akan datang di enam negeri.

"Inilah konspirasi jahat kerajaan PH-BN untuk menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin tidak popular di mata rakyat sepertimana yang ditunjukkan dalam kajian sentimen awam yang terbaru,” dakwanya merujuk tinjauan yang dijalankan oleh O2 Research Malaysia Sdn Bhd.

Pun begitu, sekumpulan ahli akademik mengkritik kaedah tinjauan itu, mengatakan populasi yang ditinjau bukanlah mewakili pengundi, yang boleh memesongkan hasil dapatan.

Kenyataan Azmin itu dibuat sebagai maklum balas terhadap notis undang-undang daripada BN, yang menuntut Muhyiddin dan Azmin memohon maaf secara terbuka atas fitnah dan membayar pampasan.

Ini merujuk dakwaan Muhyiddin dan Azmin bahawa pertuduhan berkaitan Jana Wibawa terhadap Wan Saiful dan timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad merupakan sebahagian usaha PH dan BN untuk melumpuhkan PN serta menutup kelemahannya sendiri.

Azmin berkata dakwaan itu berdasarkan pernyataan dalam laporan polis yang dibuat oleh sayap pemuda Bersatu pada 15 Feb.

Azmin mendakwa pada 13 Januari, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah berkata "kluster mahkamah" baru akan muncul daripada PN.

“Kluster Mahkamah” merujuk label terhadap pemimpin BN yang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah, khususnya semasa pentadbiran PH pada 2018.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil juga membuat kenyataan yang sama pada 27 Jan walaupun tiada pertuduhan ketika itu.

Wan Saiful, 48 pada 21 Feb lalu dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta yang dikatakan ada kaitan dengan projek Jana Wibawa semasa pentadbiran PN sebelum ini.

Turut diheret ke mahkamah adalah Adam Radlan Adam Muhammad yang juga adalah timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut.

Bagaimanapun, kedua-dua pimpinan parti itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

"Pertuduhan tersebut dengan jelas menunjukkan terdapat konspirasi fitnah palsu terhadap Bersatu dan PN yang disusun secara tidak cermat,” kata Azmin.