Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hadi: Kalau PH jatuh lagi bukan sebab tebuk atap, tapi atap bocor

PARLIMEN | Sekiranya pentadbiran PH runtuh lagi, maka gabungan pembangkang hari ini tidak boleh dipersalahkan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ahli parlimen Marang itu berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, merujuk pentadbiran PH yang ditumbangkan Langkah Sheraton pada 2019.

"Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah.

"Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi juga membidas tindakan kerajaan dalam melambatkan peruntukan untuk kawasan dan negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Katanya, tindakan ini tidak selaras dengan prinsip-prinsip Islam dan demokratik.

Selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beberapa penggubal undang-undang PN telah mengkritik kerajaan kerana tidak memperuntukkan dana kawasan kepada ahli parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata tidak adil bagi kerajaan untuk tidak menyediakan peruntukan yang sama kepada ahli parlimen pembangkang.