Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LANGSUNG l Keputusan semakan SRC Najib sebelum 31 Mac

LANGSUNG l Pasukan peguam Najib Razak dijangka menamatkan penggulungan hujahan lisan mereka pada perbicaraan permohonan semakan bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International yang membabitkan penyelewengan bernilai RM42 juta yang memasuki hari keenam, hari ini.

Peguambela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan hujahnya yang ditangguhkan semalam. Dia antara lain berkata, semalam bahawa ini adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

Katanya, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi  mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

“Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan,” kata peguam veteran itu.


Malaysiakini membawakan kepada anda liputan perbicaraan itu secara langsung.


Initipati Perbicaraan Hari Ini

  • Catatan FB suami Tengku Maimum deklarasi kebencian terhadap Najib: Shafee

  • SRC adalah perbicaraan paling pantas, dakwa Shafee

  • Mahkamah tidak pernah tanya Najib bila peguam mohon tarik diri: Shafee

  • Mahkamah tidak teliti 94 alasan rayuan Najib: Shafee

  • ‘Najib tidak boleh dipersalahkan atas dakwaan langgar peraturan etika peguam’


Keputusan semakan SRC Najib sebelum 31 Mac

4.07 petang: Panel hakim tertinggi yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli menagguhkan penghakimannya berhubung permohonan semakan oleh Najib Razak dalam kes rasuah SRC International.

"Kami akan memutuskan tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Pihak-pihak terlibat akan dimaklumkan. Tarikh keputusan selewat-lewatnya pada 31 Mac," jelas Rahman.


Prosiding dihentikan seketika

3.53 petang: Hakim mahkamah persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mengarahkan prosiding dihentikan seketika.

Perbetulkan kesilapan, kata Shafee

3.30 petang: Peguam bela utama -, Shafee Abdullah menggulung hujah, selepas meminta panel hakim Mahkamah Persekutuan sekarang - dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli - untuk "memperbetulkan" kesilapan panel hakima makkamah tertinggi sebelum ini yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun Tuan Mat .

"Ini supaya orang ramai boleh melihat mahkamah ini sebagai mahkamah rayuan sebenar yang tidak akan berkompromi dalam isu keadilan," kata Shafee ketika menggulung hujahsambil diperhatikan bekas perdana menteri, Najib Razak dari kandang tertuduh.

"Kami di sini di mahkamah ini kerana mahkamah ini memiliki bidang dan kuasa untuk membetulkan keputusan Mahkamah Persekutuan. Dengan membenarkan semakan ini, di mana terletaknya integriti keputusan yang disangkal dengan sendirinya. Jika keputusan itu tidak diperbaiki, keputusan yang salah akan ditiru dan membuka kepada satu lagi keputusan yang salah.

“Ketidakadilan dan prasangka yang berpunca daripada kesulitan yang dihadapi oleh pemohon (Najib) saat ini sememangnya berat, hak untuk mendapatkan rayuan yang adil dilucutkan. Memuktamadkan penghakiman Mahkamah Persekutuan sekiranya semakan ini ditolak adalah menggerunkan dan sewajarnya kami mendoakan perintah yang arif agar dari segi semakan ini dibenarkan," kata Shafee.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram kemudian bangun untuk mengemukakan beberapa penjelasan berhubung beberapa isu yang dibangkitkan Shafee sebelum ini.


‘Orang ramai tidak selesa dengan hantaran suami CJ terhadap Najib’

2.30 petang: Peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa orang ramai tidak selesa dengan kenyataan suami Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang membuat kenyataan "tidak baik" terhadap Najib Razak sejak empat tahun lalu.

Shafee berhujah ini kerana keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi dilihat perlu dilakukan berhubung tindakan Tengku Maimun mengetuai panel hakim tertinggi sebelum ini yang menolak rayuan bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International tahun lalu.

Peguam itu merujuk kepada hantaran Zamani Ibrahim di Facebook yang dimuat naik pada 11 Mei 2018 untuk menyokong dakwaannya terdapat konflik kepentingan oleh Tengku Maimun.

"Persepsi orang ramai... adakah ia satu perbicaraan yang adil atau tidak? Bukan persoalan jika Ketua Hakim Negara benar-benar berat sebelah," kata Shafee di hadapan panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Panel hakim sekarang sedang mendengar permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu yang mengekalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.


Mahkamah bersambung semula 

2.01 petang: Mahkamah Persekutuan bersidang semula selepas rehat makan tengah hari, dengan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah meneruskan hujahan lisannya.


Mahkamah berhenti rehat

1.01 tengah hari: Prosiding berhenti rehat untuk makan tengah hari dan akan disambung semula pada jam 2 petang ini.


Catatan FB suami Tengku Maimum deklarasi kebencian terhadap Najib: Shafee

12.56 tengah hari: Peguam bela Shafee Abdullah berkata hantaran Facebook oleh suami Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 11 Mei 2018 merupakan deklarasi kebencian terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Dalam hujahannya berhubung dakwaan konflik kepentingan membabitkan Tengku Maimun ketika mendengar rayuan Najib di mahkamah persekutuan tahun lepas, Shafee mendakwa ketua hakim negara itu sepatutnya tahu mengenai hantaran dalam talian itu dan bertanya kepada peguam Najib jika dia harus menarik diri daripada menjadi panel hakim.

Tengku Maimun Tuan Mat

"Zamani Ibrahim (suami Tengku Maimun) mengisytiharkan kebencian secara terbuka kepada Najib. Ini adalah pengisytiharan umum kebencian terhadap Najib oleh suami Ketua Hakim Negara ini.

"Ini diketahui semua rakyat Malaysia sejak 2018 hingga 2022," kata Shafee, sambil mendakwa Tengku Maimun tidak mendedahkan perkara itu sebelum pasukan peguam Najib memfailkan permohonan menyingkirkannya pada 22 Ogos tahun lepas.

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel hakim tertinggi yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun menolak permohonan penarikan diri itu kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC.


Mahkamah bersambung semula

11.54 pagi: Perbicaraan bersambung semula.


Mahkamah henti rehat seketika

11.35 pagi: Mahkamah Persekutuan ditangguhkan untuk berehat sebentar.


SRC adalah perbicaraan paling pantas, dakwa Shafee

11 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa perbicaraan rasuah SRC International yang membabitkan Najib Razak adalah "perbicaraan terpantas pernah dijalankan".

Dalam menangkis hujahan dakwaan pihak pendakwaan bahawa terdapat percubaan Najib melalui peguamnya untuk menangguhkan prosiding, Shafee berkata kes SRC di Mahkamah Tinggi bermula pada 3 April 2019 dan keputusannya disampaikan pada 28 Julai 2020.

Shafee menegaskan bahawa pasukan peguam, baik dirinya mahupun  pasukan peguam bekas perdana menteri ketika itu yang diwakili oleh peguam dari firma guaman Hisyam Teh Poh Teik dan Zaid Ibrahim, telah bertindak secara profesional dan tidak pernah cuba menangguhkan perbicaraan pada mana-mana peringkat kes.

Shafee berkata, Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan Najib pada 8 Dis 2021, sebelum perkara itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.


Mahkamah tidak pernah tanya Najib bila peguam mohon tarik diri: Shafee

10.45 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel mahkamah tertinggi sebelum ini yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak pernah bertanya kepada Najib Razak apabila peguam bekas perdana menteri itu cuba menarik  dirinya tahun lepas.

Shafee merujuk kepada panel mahkamah persekutuan sebelum ini yang menafikan permohonan peguam Najib ketika itu, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu daripada rayuan kes rasuah SRC International tahun lepas.

V Sithambaram

"Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan tidak bertanya apa-apa kepada anak guam saya," kata Shafee, sambil menjelaskan bahawa inilah sebabnya Najib terpaksa memberi kenyataan daripada kandang tertuduh berhubung isu itu, sebelum mahkamah  ketika itu menolak rayuannya.

Shafee menegaskan bahawa ini menunjukkan bahawa hak Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil telah dilanggar.

Tahun lepas, Hisyam memohon pelepasan itu selepas mahkamah tertinggi ketika itu menolak permohonan awalnya untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya pasukan peguam  baharu boleh membuat persediaan untuk rayuan itu.


Mahkamah tidak teliti 94 alasan rayuan Najib: Shafee

10.17 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini tidak meneliti  sepenuhnya 94 alasan rayuan yang dikemukakan Najib  Razak dalam kes rasuah SRC International.

Shafee berhujah bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi ke atas kes itu (yang mendapati Najib bersalah dan menjatuhkan hukuman ke atas) adalah 850 muka surat, dan penghakiman Mahkamah Rayuan (yang menolak rayuan Najib) adalah 300 muka surat.

Muhammad Shafee Abdullah

Penghakiman oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini - yang mengekalkan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu) tahun lepas - adalah sekitar 20 halaman atau lebih.


‘Najib tidak boleh dipersalahkan atas dakwaan langgar peraturan etika peguam’

10.06 pagi: Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat terkhilaf apabila mempersalahkan Najib berhubung dakwaan pelanggaran peraturan etika oleh bekas peguam perdana menteri itu.

Shafee memberitahu mahkamah persekutuan  yang dipengerusikan oleh Hakim Besar, Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli bahawa mahkamah sebelum ini tidak boleh mempersalahkan Najib jika terdapat sebarang pelanggaran peraturan etika oleh pasukan peguamnya sebelum ini.

Abdul Rahman Sebli

"Kesannya adalah Mahkamah Persekutuan (tahun lepas) menafikan Najib hak untuk didengar dan rayuannya didengar sepenuhnya," kata Shafee.

Pada 23 Ogos tahun lepas, mahkamah persekutuan ketika itu menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan kesalahannya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International.

Antara intipati permohonan semakan Najib adalah bahawa panel hakim tertinggi negara sebelum ini tersilap kerana tidak membenarkan permohonan oleh pasukan perundangan bekas menteri kewangan itu untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya mereka boleh membuat persediaan.


Mahkamah bersambung semula

9.51 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak mengambil tempatnya di kandang tertuduh dan diikuti oleh para hakim mahkamah persekutuan masuk selepas itu.

Isteri Najib, Rosmah Mansor

Turut hadir adalah isterinya Rosmah Mansor, dengan membawa sehelai selendang merah jambu.

Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dijangka akan menyambung semula hujahan lisannya.


Najib berada di mahkamah

9.30 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak kelihatan berada di galeri awam dan dikelilingi oleh sekumpulan pegawai Penjara Kajang, menunggu perbicaraan bermula.

Apabila prosiding dimulakan, Najib, yang berpakaian sut biru dan bertali leher, akan mengambil tempatnya di kandang tertuduh.


Semalam, Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa rayuan Najib berhubung keputusan perbicaraan SRC International serba tidak menjadi setelah beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada  Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

“Mengapa Najib yang diwakili Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

V Sithambaram (kiri) bersama Hisyam Teh

Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. 

“Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup  melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

Menyentuh kedudukan Hakim  Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

“Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan. 

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak  Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Panel Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.