Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Belanjawan 2023: K'jaan tak rasa denyut nadi rakyat, kata Wan Saiful

PARLIMEN | Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menggambarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pentadbiran yang tidak merasa denyut nadi rakyat.

Wan Saiful berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, yang antara lain membangkitkan tiadanya pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Dia berkata PN memperjuangkan isu tersebut ekoran rayuan daripada pencarum serta maklum mereka berdisiplin dalam mengeluarkan simpanan mereka.

“Malangnya, kerajaan campuran BN-PH ini terus bersemayam di tingkat kayangan. Ini adalah kerajaan yang terpisah daripada kesusahan hidup rakyat kerana duduknya terlalu tinggi di atas sana.

“Mereka (kerajaan) tak rasa denyut nadi rakyat yang semakin hari semakin terhimpit. Bukan kerana mereka (rakyat) tiada wang tapi kerana wang yang mereka ada tersangkut dalam tabungan KWSP.

“Pencarum KWSP ni bukan datang dari kelompok kayangan yang mampu hidup mewah walaupun tak ambil gaji bulanan...mereka datang dari kelompok yang sekian lama mencarum dan menabung untuk masa depan tapi malangnya kesusahan datang lebih awal dari tarikh persaraan,” katanya yang meminta supaya kebenaran untuk pengeluaran dipertimbangkan.

Sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2023, Anwar dalam perbahasannya di Parlimen berkata 71 peratus pencarum KWSP aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara, susulan empat pengeluaran khas yang dibenarkan ketika penularan wabak Covid-19.

Belanjawan kali ini juga tidak lagi membenarkan pengeluaran seumpama itu dibuat, sebaliknya kerajaan akan menyalurkan RM500 ke dalam akaun KWSP pencarum berusia antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai jumlah kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1.

Isu pengeluaran KWSP juga dibangkitkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam perbahasannya hari ini.

Dalam perbahasannya, Wan Saiful turut menyentuh pembentangan belanjawan oleh Anwar pada Jumaat lalu, yang menurutnya seakan menjurus kepada pertembungan kelas dalam masyarakat.

“Nak sentuh sikit intonasi retorik yang digunakan YAB Tambun (Anwar)…beberapa kali dalam ucapannya, digunakan ayat-ayat yang menggambarkan seolah-olah YAB Tambun memulakan apa yang dipanggil class warfare, atau pertembungan kelas, dalam negara kita.

“Ini adalah taktik populis yang berasal daripada pemikiran tokoh aliran kiri terutama Karl Marx dan Friedrich Engels. Saya mengesan bau-bau pemikiran aliran kiri tersebut dalam ucapan YAB Tambun," katanya.

Wan Saiful tidak memberikan sebarang contoh berhubung kenyataannya itu.

Namun Anwar dalam ucapannya antara lain ada menyentuh keperluan untuk rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama berkenaan hasrat melaksanakan subsidi bersasar dan struktur percukaian yang dapat melindungi golongan kurang bernasib baik.