Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gaji penjawat awam: PM minta Cuepacs sabar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar bersabar berhubung isu gaji kakitangan awam.

Anwar berkata keadaan ekonomi semasa dan hutang negara menjadi penghalang kepada kerajaan untuk membincangkan isu kenaikan gaji mereka.

"Saya setuju dengan Ceupacs pada prinsipnya bahawa gaji penjawat awam perlu dinaikkan untuk menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup

"Tapi apa masalah kita? Hutang negara RM1.5 trilion, defisit negara 56 peratus. (Jika) kita tambah gaji defisit jadi 65 peratus.

"Nanti tiada orang nak datang melabur lagi kepada kita. Pelabur luar negara tidak akan yakin dengan kekuatan tekad politik untuk mengurus negara.

"Jadi, saya minta (Ceupacs) bersabar sekejap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Forum Antarabangsa: Pendekatan Madani Mendepani Cabaran Islamofobia di Putrajaya, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Ceupacs Adnan Mat yang berpandangan Belanjawan 2023 tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam.

Adnan berkata Ceupacs kecewa apabila belanjawan yang dibentangkan tidak menyentuh isu kenaikan gaji penjawat awam.

Sementara itu, Anwar berkata pada masa ini lebih penting untuk membantu golongan miskin tegar seperti nelayan dan petani yang lebih teruk terjejas.

"Hasil lebihan itu, saya curahkan (untuk) membantu golongan yang lebih miskin. Apakah ia tidak penting kita selamatkan orang miskin yang lebih teruk.

"Jadi, kalau kita lihat segi itu, kita faham...Kita hidup dalam susah tapi mereka pun hidup susah," katanya lagi.