Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Mahkamah Persekutuan terkhilaf salahkan Najib berhubung pertukaran peguam: Shafee

LANGSUNG | Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan semakan oleh Najib Razak untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya dalam kes rasuah membabitkan dana RM42 juta SRC International memasuki hari kelima.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, dijangka mendengar hujah balas daripada timbalan pendakwa raya utama, V Sithambaram hari ini.

Malaysiakini membawakan kepada anda laporan prosiding hari ini secara langsung.


Prosiding ditangguhkan ke esok

4.13 petang: Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan hari ini dan akan disambung semula pagi esok bagi membolehkan peguam bela utama, Shafee Abdullah menyelesaikan hujah lisannya.


Mahkamah Persekutuan terkhilaf salahkan Najib berhubung pertukaran peguam: Shafee

4.03 petang: Peguam bela utama Najib, Shafee Abdullah berhujah bahawa panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat telah terkhilaf apabila menyalahkan Najib Razak berhubung permohonan pasukan peguamnya untuk meminta penangguhan dalam pendengaran rayuan berkaitan kes SRC tahun lepas.

Shafee berhujah bekas menteri kewangan itu dengan suci hati mengikut nasihat peguamnya ketika itu untuk meminta penangguhan rayuan SRC di mahkamah tertinggi berkenaan.


Benarkan ‘peguam yang tak efektif’ langgar hak asasi Najib - Shafee

3.14 petang: Peguam bela utama, Shafee Abdullah berhujah bahawa panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang membenarkan "peguam yang tidak efektif" untuk mewakili Najib Razak dalam pendengaran rayuan SRC tahun lepas adalah bertentangan dengan hak asasi manusia dan hak untuk mendapatkan perbicaraan adil.

Shafee merujuk kepada panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang menafikan permohonan peguam bekas perdana menteri ketika itu, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada rayuan itu.

Hisyam berusaha menarik diri apabila panel hakim menolak permohonan pasukan peguam ketika itu untuk menangguhkan perbicaraan rayuan bagi memberi mereka lebih masa untuk bersedia bagi pendengaran rayuan berkenaan.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tengku Maimun juga menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya dalam kes SRC.

Undang-undang benarkan peguam digugurkan tanpa kebenaran mahkamah: Shafee

3 petang: Peguam bela utajma, Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat tahun lepas melanggar undang-undang apabila tidak membenarkan peguam Najib Razak ketika itu, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Shafee berkata terdapat pekeliling yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung bertarikh 17 Nov 1960, yang menyatakan bahawa tidak timbul persoalan seseeorang peguam memerlukan kebenaran mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili anak guamnya.

Tahun lepas semasa mendengar rayuan Najib berkaitan kes SRC, Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Hisyam menarik diri, atas alasan peguam itu tidak bersedia mewakili bekas perdana menteri itu.

Panel hakim yang sama tahun lepas - yang mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC juga telah mengenepikan permohonan pasukan peguam bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya mereka boleh bersedia untuk rayuan tersebut.


Prosiding disambung semula

2.29 petang: Prosiding mahkamah Persekutuan disambung semula selepas waktu rehat tengah hari.


Prosiding berhenti rehat

1 tengah hari: Prosiding Mahkamah Persekutuan ditangguhkan untuk makan tengah hari, dan akan disambung semula sekitar jam 2 petang ini.


Pihak pendakwaan tak bantah permohonan penangguhan - Shafee

12.48 tengah hari: Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah menegaskan pihak pendakwaan tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan pasukan peguamNajib Razak untuk menangguhkan pendengaran rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan tahun lepas.

Shafee memberitahu panel hakim Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa pihak pendakwaan tidak memberitahu panel hakim tahun lepas mengenai sebarang muslihat peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan berkenaan.

"Mereka sepatutnya membantah dan mengatakan ini adalah muslihat untuk menangguhkan (di hadapan panel hakim mahkamah persekutuan tahun lalu), tetapi mereka tidak melakukannya kerana mereka tahu sebab kami meminta (penangguhan) adalah benar," kata Shafee.

Peguam itu menyanggah hujah pihak pendakwaan berhubung permohonan Najib untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya berkaitan kes SRC.


Najib tukar peguam dengan niat baik: Shafee

12.30 tengah hari: Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa tindakan Najib menukar peguam sebelum rayuan SRC di mahkamah persekutuan tahun lepas, dibuat dengan niat baik.

Menyangkal hujah pihak pendakwaan, Shafee berkata pertukaran peguam disebabkan mahkamah Malaysia tidak membenarkan peguam yang berpangkalan di United Kingdom yang juga peguam diraja, Jonathan Laidlaw untuk dimasukkan sementara ke Badan Peguam dan mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuan SRC.

"Tiada agenda untuk merancang penangguhan," kata Shafee kepada lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Shafee merujuk mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun Tuan Mat tahun lepas, yang menafikan permohonan peguam Najib ketika itu untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya mereka boleh bersiap sedia dengan rayuan berkenaan.

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel hakim yang sama juga mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC. Najib memohon semakan bagi membatalkan sabitan bersalah terhadapnya serta hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC seperti yang diputuskan oleh mahkamah persekutuan sebelum ini.


Tangguh jadi ‘kebiasaan' sepanjang kes SRC Najib : DPP

11.58 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berkata permohonan untuk penangguhan menjadi sesuatu yang agak "biasa sepanjang prosiding" dalam kes SRC membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi dan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Dia menyentuh mengenai perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, apabila pasukan peguam Najib memfailkan seminggu lebih awal untuk mendapatkan bukti baru dan meminta Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran rayuan itu.

"Ia banyak kali berlaku di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Sithambaram.

Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 menolak rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya dalam kes SRC.

Najib antara lain memberi alasan memohon semakan kerana mahkamah persekutuan tahun lepas - yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC- telah menolak permohonan pasukan peguamnya untuk menangguhkan pendengaran rayuan.



Rayuan Najib jadi tak kena bila Najib ubah rancangan di separuh jalan - DPP

11.32 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata rayuan Najib Razak berkaitan kes SRC menjadi tidak kena apabila bekas perdana menteri itu mengubah rancangan di separuh jalan.

DPP berkata demikian merujuk kepada tindakan Najib tahun lepas menukar peguam, Muhammad Shafee Abdullah kepada pasukan peguam baru yang terdiri daripada Hisyam Teh Poh Teik serta peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim.

Sithambaram mempersoalkan mengapa Najib diwakili oleh Shafee di peringkat Mahkamah Tinggi dalam kes SRC pada 2018 dan hanya menukar peguam itu pada 2022 sebelum pendengaran rayuan berkenaan di Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu.

"Jika tidak kerana perubahan ini, saya tidak fikir ia (semakan ini) akan dilakukan di hadapan Yang Arif hari ini,” katanya.

Sithambaram berkata walaupun tertuduh mempunyai hak memilih peguam, namun peguam sepatutnya bersedia dan bertindak pada tarikh yang berkenaan.


Prosiding mahkamah disambung semula

11.21 pagi: Prosiding Mahkamah Persekutuan disambung semula selepas berhenti rehat seketika.


Prosiding mahkamah berhenti rehat seketika

10.54 pagi: Prosiding mahkamah berhenti rehat seketika.


Permohonan singkir Tengku Maimun dibuat 4 tahun selepas catatan FB: DPP

10.44 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram menegaskan bahawa pasukan peguam Najib Razak hanya memfailkan permohonan menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada 22 Ogos tahun lepas, iaitu empat tahun selepas hantaran Facebook ditulis oleh suaminya Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018.

Katanya, tiada kaitan antara hantaran FB itu dan Tengku Maimun, yang membuat keputusan menolak rayuan bekas perdana menteri itu pada 23 Ogos tahun lepas berkaitan sabitan dalam kes SRC.

Panel lima orang hakim yang kini mendengar permohonan semakan yang difailkan oleh Najib berkaitan kes SRC diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Antara intipati permohonan semakan itu ialah Tengku Maimun berat sebelah dan memiliki konflik kepentingan apabila mendengar dan membuat keputusan berkenaan rayuan oleh bekas menteri kewangan itu tahun lepas.


Rosmah, Nooryana turut ikuti prosiding

10.05 pagi: Isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa - masing-masing berpakaian merah jambu dan biru - dilihat duduk di galeri awam bagi mengikut prosiding mahkamah.


Ketua hakim tiada kepentingan peribadi berkait hantaran FB suami: DPP

9.55 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram menegaskan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat tidak mempunyai kepentingan peribadi berkait hantaran di Facebook pada 2018 oleh suaminya Zamani Ibrahim.

DPP berkata perlu ada bukti berat sebelah dan bukannya anggapan berat sebelah yang dikaitkan dengan hantaran FB yang dibuat pada Mei 2018 itu.

Najib Razak hanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rayuan bekas perdana menteri itu didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Dis 2021 dan kemudian oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Tengku Maimun mengetuai panel hakim mahkamah Persekutuan yang mendengar dan menolak rayuan berkaitan SRC pada 23 Ogos tahun lepas.


Rakyat Malaysia tahu Najib kalah PRU14 seperti disebut dalam Hantaran FB suami ketua hakim : DPP

9.36 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah bahawa hantaran Facebook oleh suami Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 2018 adalah sesuatu yang ketahui semua orang, iaitu perdana menteri ketika itu Najib Razak tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

DPP berkata akibatnya, ia bukanlah sesuatu yang menimbulkan konflik kepentingan membabitkan Tengku Maimun apabila dia mengetuai panel hakim mahkamah tertinggi itu tahun lepas yang menolak rayuan Najib berkaitan kes SRC.

Sithambaram menegaskan bahawa hantaran FB berkenaan - dibuat sejurus selepas keputusan PRU14 diumumkan pada Mei 2018 - tidak menyebut SRC tetapi hanya 1MDB.

Dia menyatakan SRC dipindahkan dari 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada Februari 2012, iaitu enam tahun sebelum hantaran FB berkenaan.

"Apa yang dinyatakan (dalam hantaran FB oleh Zamani Ibrahim) adalah sesuatu yang diketahui oleh setiap rakyat Malaysia, bahawa Najib kalah dalam pilihan raya, dan bahawa terdapat siasatan berterusan berhubung skandal 1MDB," kata Sithambaram kepada panel yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.


Hakim tegur peguam lambat

9.19 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh dengan timbalan ketua pendakwa raya, V Sithambaram dijangka menyambung semula hujahan lisan terhadap permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula sabitan bersalah dalam kes SRC.

Pada ketika ini, Hakim besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli - yang mengetuai panel lima hakim bertanya kepada ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah

"Shafee, bolehkah anda datang tepat pada masanya?"

Shafee kemudian menjawab mereka berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

Sithambaram kemudian meneruskan penghujahan lisannya.


Najib memasuki Mahkamah persekutuan

8.57 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak, yang berpakaian sut berwarna biru tua dan bertali leher, memasuki mahkamah persekutuan sambil diiringi beberapa pegawai dari Penjara Kajang.

Terdahulu turut kelihatan di mahkamah ialah timbalan pendakwa raya utama, V Sithambaram bersama anggota pendakwaan lain, serta pasukan peguam Najib.