Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cukai naik: Hanya untuk golongan berpendapatan RM230,000 ke atas setahun

Kadar cukai pendapatan yang naik hanya memberi kesan kepada mereka yang memperoleh pendapatan bercukai melebihi RM230,000 setahun, jelas Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim hari ini.

Ini secara kasarnya mencapai RM19,166.67 sebulan dalam pendapatan bercukai.

Sim mengulas perkara ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2023 pada hari Jumaat berkata mereka yang berpendapatan RM100,001 hingga RM250,000 dan ke atas akan dikenakan kenaikan kadar 0.5 peratus hingga 2 peratus.

Pada mulanya, sesetengah pihak menaksirkan bahawa mereka yang berpendapatan melebihi RM8,000 dalam pendapatan bercukai juga akan tertakluk kepada kadar yang dinaikkan.

Bagaimanapun, Sim menjelaskan kerana cara cukai pendapatan distrukturkan, hanya mereka yang berpendapatan melebihi RM230,000 akan dikenakan kadar kenaikan itu.

Sim berkata potongan dua peratus bagi kadar cukai pendapatan diberikan untuk kumpulan M40.

"Kalau pendapatan bercukai tahunan anda di bawah RM230,000, anda tidak perlu membayar lebih.

"Malah anda sebenarnya akan untung daripada membayar cukai sehingga kira-kira RM1,000," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jadual dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan selepas ucapan belanjawan menunjukkan bahawa tambahan 0.5 peratus ke atas cukai pendapatan bermakna paling banyak ia mencecah RM200.

Sementara itu, mereka yang berada dalam golongan pendapatan bercukai RM1-2 juta, perlu membayar sehingga RM10,950 dalam cukai pendapatan tambahan.

Kenaikan cukai pendapatan ke atas golongan kaya merupakan sebahagian usaha percukaian progresif oleh kerajaan.

"Semakan terakhir kepada kadar cukai kita adalah hampir sedekad yang lalu pada 2015.

"Kita harus mensasarkan pencukaian yang lebih saksama, yang tidak membebankan rakyat tetapi pada masa yang sama menyokong pembangunan negara," kata Sim.

Pada hantaran Facebook berkaitan semalam, Sim berkata dia difahamkan bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar di Selangor, Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang - gaji sekitar RM10,000 pun mungkin tidak mencukupi kerana kos sara hidup dan komitmen kewangan yang tinggi.