Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengeluar M'sia perlu tunjuk 'tiada buruh paksa' untuk jual sarung tangan pada NHS UK

Pengeluar sarung tangan getah Malaysia kini dikehendaki menyerahkan laporan audit menyeluruh bagi membersihkan mereka daripada dakwaan amalan buruh paksa sebelum dibenarkan memasarkan produk kepada Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (NHS) United Kingdom (UK).

Pesuruhjaya UK Mengenai Migrasi dan Perhambaan Moden Andrew Patrick berkata ini selaras dengan rangka kerja perolehan mereka, yang diperbaharui dan ditambah baik.

“Ia adalah rangka kerja yang dikendalikan pakar perolehan Jabatan Kesihatan yang akan melaksanakannya dengan tegas dan saya akan bekerjasama dengan mereka.

“Untuk mendapatkan urus niaga, mereka perlu memenuhi keperluan audit.

"Kami telah memberikan komitmen kepada Parlimen Britain yang kami akan melakukan segala yang termampu untuk menghapuskan unsur buruh paksa dalam pembekalan barangan perubatan kepada NHS," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual baru-baru ini.

Patrick berada di Malaysia dalam misi khas untuk mengadakan libat urus dengan kerajaan berhubung risiko amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan barangan ke UK.

Andrew Patrick

Dia juga bertemu dengan Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia untuk memastikan pematuhan prosedur perolehan yang baru.

“Kami berbincang dengan pengilang mengenai pendekatan baru dan kami mahu memastikan dapat bekerjasama dengan pengeluar yang boleh memberi jaminan tiada unsur buruh paksa dalam rantaian bekalan.

“Kami membincangkan pendekatan baru untuk perolehan (membeli sarung tangan).

"Kami akan menjangkakan pengeluar menjadi lebih telus dengan operasi mereka dan kerajaan UK juga akan dapat menjalankan audit ke atas mana-mana syarikat dalam rantaian perbekalan," katanya.

NHS merupakan pengimport utama sarung tangan getah Malaysia.

Mengulas lanjut, Patrick berkata dakwaan wujudnya buruh paksa berkaitan pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) untuk NHS, termasuk sarung tangan getah, menjadi isu utama media dan Parlimen Britain.

Oleh itu, lawatannya khusus untuk berhubung dengan agensi kerajaan terlibat bagi menangani masalah ini.

Dianggarkan kerajaan UK membeli lima peratus daripada keseluruhan eksport sarung tangan getah Malaysia, dengan semuanya untuk NHS.

Selepas kerajaan UK membeli sarung tangan daripada subsidiari Supermax Corporation Bhd - syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia - pada 2020, Amerika Syarikat dan Kanada mengenakan larangan import terhadap syarikat itu.

Ia berdasarkan dakwaan amalan buruh paksa terhadap pekerja asing syarikat itu sejak 2019.

Tahun berikutnya, Supermax berikrar untuk membayar semula bayaran pengambilan kerja yang ditanggung pekerja dan bekas pekerjanya, serta beberapa langkah pemulihan lain dalam usaha membatalkan Perintah Tahan Pelepasan (WRO) yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.

Bayaran pengambilan kerja adalah bayaran yang dibuat pekerja asing, biasanya kepada ejen dan dengan jumlah yang tinggi, untuk membolehkan mereka bekerja di Malaysia.

Walaupun ia tidak semestinya menandakan wujudnya amalan buruh paksa, bayaran itu boleh menyebabkan ikatan hutang - salah satu petunjuk perhambaan moden menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pada 2022, Mahkamah Tinggi UK membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan UK untuk meneruskan penggunaan sarung tangan Supermax walaupun syarikat itu terpalit dengan dakwaan amalan buruh paksa.

Syarikat sarung tangan lain yang sedang atau telah mengendalikan ketetapan WRO adalah Top Glove, WRP, Smart Glove, Brightway Holdings, Hartalega Holdings dan YTY Industry Holdings.

Top Glove dan WRP menjadi pembekal sarung tangan getah kepada NHS pada 2018.

Top Glove melaksanakan dasar sifar bayaran pengambilan kerja pada 2019, sementara WRP telah membayar balik wang yang dikeluarkan pekerjanya untuk bayaran itu.

[Baca berita asal]