1MDB: Roger Ng mohon belas ihsan mahkamah AS
Roger Ng, bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc yang disabitkan bersalah kerana bersubahat menyelewengkan dana 1MDB, merayu kepada mahkamah New York semalam agar tidak menambah hukuman penjara terhadapnya.
Menjelang pendengaran hukumannya yang dijadual 9 Mac ini, peguam Ng memohon mahkamah menunjukkan belas ihsan dan menetapkan tempoh penjara yang telah dijalaninya ketika di Malaysia.
Ng yang merupakan bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Malaysia menjalani hukuman penjara enam bulan di Malaysia sebelum ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 1 November 2018, menurut pemfailan mahkamah.
Pada Oktober 2020, Goldman setuju untuk membayar AS$2.9 bilion dan untuk unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, bagi menyelesaikan siasatan terhadap penyelewengan berbilion dolar dari 1MDB dan rasuah untuk mendapatkan urus niaga bagi bank yang berpangkalan di Wall Street itu.
Pada April tahun lalu, juri persekutuan Brooklyn menyabitkan Ng atas kesalahan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram. Dia berdepan hukuman penjara 30 tahun.
"Dengan maruahnya terlucut di penjara Malaysia, dia sakit, takut, kesunyian dan hilang harapan, dan masih mengalami kesan PTSD(Gangguan Tekanan Pasca Trauma) yang begitu menjejaskan," kata peguam ketika meminta hakim membenarkan Ng untuk pulang ke Malaysia, di mana dia masih berdepan pertuduhan jenayah berkaitan penyelewengan besar-besaran syarikat itu.
Reuters tidak dapat menghubungi secara segera pihak penjara untuk mengulas keadaan itu.
Pihak pendakwaan berkata Ng membantu bekas bosnya, Tim Leissner menyelewengkan dana dari syarikat itu, menjalankan pengubahan wang haram terhadap dana itu dan merasuah pegawai bagi mendapatkan urus niaga untuk Goldman.
"Peranan Ng dalam kesalahan ini adalah minimum, dan satu-satunya dakwaan sebaliknya adalah daripada Leissner, yang jelas tidak boleh dipercayai," kata peguam dalam pemfailan mahkamah.
-Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai