Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Belanjawan 2023 tak cukup responsif terhadap isu gender'

Kumpulan hak gender menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam tidak mengambil pendekatan responsif gender.

Gender Budget Group (GBG) berkata lebih banyak yang boleh dilakukan bagi menjamin ia benar-benar responsif terhadap gender.

"Sejak 2021 dan selama dua kitaran belanjawan, GBG telah menyeru dan mempromosikan perangkaan belanjawan responsif gender (GRB) untuk peruntukan dan dasar belanjawan.

"GRB adalah pendekatan kritikal bagi menjamin perkiraan kesamaan gender diambil kira dalam keputusan berkenaan cukai dan perbelanjaan," kata mereka dalam kenyataan.

GBG mengakui ada peruntukan dalam belanjawan untuk menggalakkan golongan perempuan kembali bekerja selepas melahirkan anak, perhatian terhada akses penjagaan anak dan sokongan kepada perempuan yang menjalankan perniagaan kecil.

Namun, mereka berpandangan kurangnya fokus kepada gender dalam pelbagai kementerian dan sektor adalah membimbangkan.

"Usaha menangani jurang antara gender bukan seluruhnya di bawah mandat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ia mesti dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan, terutama jika mereka ingin menghapuskan kemiskinan tegar," kata GBG.

Misalnya, kata mereka, peruntukan untuk penjagaan anak perlu turut mengambil kira keperluan perempuan yang bekerja dalam sektor tidak formal.

Program pendidikan TVET pula perlu diubah suai bagi menjamin kadar kemasukan dan pengekalan pelajar perempuan, yang akan berdepan kesan ekonomi lebih buruk jika tidak tamat sekolah, kata mereka lagi.

GBG adalah gabungan 21 pertubuhan masyarakat sivil dan 16 ahli akademik, yang diketuai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Engender Consultancy.

[Baca berita asal]