Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbezaan politik bukan alasan untuk tak perangi rasuah - Anwar

Perdana menteri yang juga menteri kewangan Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dengan temanya Membangun Malaysia Madani.

Sebelum ini, Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya parlimen pada 10 Okt tahun lalu.

Berikut adalah perkara penting dalam ucapan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Anwar:


PM mahu persaingan sihat

6.15 petang: Selepas hampir dua jam, Anwar mengakhiri ucapannya dengan menggesa ahli parlimen untuk bersama-sama memerangi rasuah.

"Biarpun ada yang berbeza pandangan politik, jangan kita biarkan perbezaan tersebut menghindar kita daripada melakukan perubahan yang bermakna.

"Sekiranya kita bersaing, janganlah race to the bottom, tetapi mesti berpaksikan kepada prinsip fastabiqul khairat, yakni berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan," kata Anwar.

Ini menandakan berakhirnya liputan langsung ucapan Belanjawan 2023 dari Malaysiakini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Belanjawan 2023, lawati halaman interaktif kami di pautan berikut:

https://newslab.malaysiakini.com/budget-2023/ms/


Sumbangan RM500 dalam akaun KWSP

6.10 petang: Kerajaan bercadang menyalurkan RM500 ke dalam akaun KWSP pencarum yang mempunyai jumlah kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1. Ini terhad kepada ahli yang berumur antara 40 dan 54 tahun.

Anwar berkata ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 2 juta ahli KWSP.

Menurutnya, kerajaan mahu membantu individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 membina semula dana persaraan mereka.


Skim Perubatan Madani

6.00 petang: Kerajaan menyasarkan untuk mengambil 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan ahli farmasi baru secara tetap atau kontrak

Skim kesihatan baru yang dinamakan Skim Perubatan Madani untuk golongan miskin mendapat akses kepada pengamal kesihatan swasta akan diperkenalkan.

Skim ini dimodelkan mengikut skim serupa di Selangor.

Mulai tahun 2023 dan seterusnya, pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan telah dinaikkan kepada RM10,000, meningkat daripada RM8,000 sebelumnya.


Bantuan AIdilfitri untuk penjawat awam

6.10 petang: Anwar mengumumkan bantuan Aidilfitri RM700 untuk semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah - termasuk pekerja kontrak.

Sementara itu, pesara akan mendapat bantuan khas RM350.-


Moratorium dan diskaun PTPTN

6.00 petang: Peminjam PTPTN berpendapatan kurang daripada RM1,800 akan diberikan moratorium pembayaran selama enam bulan, dengan permohonan dibuka mulai Mac.

Anwar berkata ini bagi membolehkan peminjam yang layak untuk moratorium mendapat gaji yang lebih baik.

Sementara itu, kerajaan turut memberi diskaun 20 peratus bagi pembayaran balik PTPTN selama tiga bulan, bermula Mac.


Penjimatan kos MRT3

5.55 petang: Putrajaya akan mencari jalan untuk mengurangkan kos projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

Anwar berkata projek itu dianggarkan menelan belanja RM50 bilion dan pentadbirannya menyasarkan untuk mengurangkannya kepada RM45 bilion.

Penjimatan itu, kata Anwar, akan diagihkan semula kepada rakyat.

Kerajaan juga akan menguji kad perjalanan bas tanpa had untuk Johor Bharu, yang dikenali sebagai myBAS50.


Sekurang-kurangnya RM300 juta untuk Sabah dan Sarawak

5.45 petang: Anwar menjanjikan "sekurang-kurangnya" RM300 juta bayaran khas kepada Sabah dan Sarawak. Tiada garis masa diberikan untuk pembayaran itu.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Putrajaya diwajibkan membayar Sabah dan Sarawak setiap tahun, tetapi jumlah itu tidak berubah sejak 1970-an hingga 2022.

Kedua-dua wilayah itu masing-masing dibayar RM125.6 juta pada 2022 dan jumlah ini akan meningkat kepada RM142.6 juta menjelang 2026.


Potongan cukai untuk M40

5.30 petang: Kerajaan mencadangkan pemotongan cukai sebanyak 2 peratus bagi kumpulan yang mempunyai pendapatan tahunan bercukai RM35,000 hingga RM100,000.

Anwar berkata kira-kira 2.4 juta pembayar cukai akan mendapat manfaat daripada dasar ini.

Dia berkata dasar ini perlu kerana M40 sangat bersabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini manakala kumpulan B40 menerima bantuan kerajaan paling banyak.

Cukai bagi mereka yang berpendapatan bercukai melebihi RM100,000 akan menyaksikan peningkatan antara 0.5 peratus hingga dua peratus.

"Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi," katanya.

Secara keseluruhannya, kata Anwar, kerajaan menjangkakan pengurangan hasil cukai RM900 juta berikutan perubahan ini yang menurutnya memberi manfaat kepada kumpulan M40.


Cukai pendapatan individu dikurangkan

5.35 petang: Menteri kewangan berkata kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu.

Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak 2 peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Pengurangan ini katanya, dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.


Pendapatan isi rumah RM2,500 layak dapat Sumbangan Tunai Rahmah

5.30 petang: Kerajaan telah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah.

Menurutnya, isi rumah pendapatan kurang RM2,500, layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.

Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.

Sumbangan ini katanya akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.


RM750 juta untuk jayakan Inisiatif Pendapatan Rakyat

5.24 petang: “Iltizam Kerajaan hari ini adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar," kata Anwar Ibrahim ketika membantangkan Belanjawan 2023 di parlimen hari ini.

Untuk itu kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan mereka.

Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

Tambahnya, pendekatan baru akan dilaksana untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.


RM64 bilion dalam bentuk subsidi

5.25 petang: Anwar memaklumkan kerajaan tahun ini menyediakan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

Sejumlah besar dana ini adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak.


Khazanah, KWSP akan labur dalam syarikat pemula bernilai RM1.5 bilion

5.20 Petang: Anwar berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah dan KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.

Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025.

Katanya, potongan cukai turut diperluas meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.


RM50 juta untuk Melaka dan Pulau Pinang kekalkan tapak warisan Unesco

5.21 petang: Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.


Insentif Perkeso untuk majikan gajikan 17,000 graduan

5.10 petang: PERKESO akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan. Bagi tujuan itu, sebanyak RM45 juta disediakan.

Anwar berkata PERKESO juga menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga 600 ringgit sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.

Selain itu kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro credentials sehingga RM4,00.


Kerajaan sasar 130,000 rakyat dilepas dari status muflis

5.05 petang: Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

Menurut Anwar, sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 dan memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

Kerajaan juga menyasarkan 130,000 akyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan tersebut.


Had kelayakan bantuan guaman dinaikkan

5.04 petang: Bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada RM30,000 kepada RM50,000.

Fungsi Jabatan Bantuan Guaman juga akan diperluas meliputi kes-kes sivil dan syariah.


RM10 juta untuk NSRC

5.00 petang: Bagi mengukuhkan peranan National Scam Response Centre (NSRC), sejumlah RM10 juta disediakan bagi geran pengoperasian, bagi menangani jenayah penipuan dalam talian.

Anwar berkata Bank Negara juga akan menguatkuasakan dasar “kill switch” kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.


RM1.2 bilion untuk baik pulih klinik, sekolah daif

4.57 petang: Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion ringgit.

Anwar berkata had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 serta perolehan secara cabut undi kepada RM200,000 berbanding RM100,000.


Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

4.56 petang: Kerajaan Perpaduan bercadang untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan yang telah ditangguhkan kerajaan terdahulu pada 2019.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini, bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku dapat dilaksanakan.


Wakaf Madani dengan aset bernilai RM1 bilion

4.50 petang: Anwar mengumumkan kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf Madani dengan aset-aset bernilai lebih RM1 bilion.

Aset-aset tersebut terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain


Insentif untuk sektor E&E dan aeroangkasa

4.40 petang: Anwar berkata Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor Elektrikal & Elektronik (E&E) dan aeroangkasa.

Justeru katanya, kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024.

Selain itu kerajaan juga akan melanjutkan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan sehingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa bagi menggalakkan pengembangan kapasiti syarikat sedia ada dan menarik pelaburan daripada syarikat baru.


Projek tebatan banjir akan ditender semula

4.35 petang: Anwar berkata bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamatnya, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

"Sebagai contoh, negara dijangka mampu jimat RM2 bilion daripada jumlah RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini.

"Lantaran dari itu, pelaksanaan perolehan mesti dibuat secara tender," katanya.

Menurutnya enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewatnya bulan Jun.


Cukai PKMS di kurangkan

4.30 petang: Kadar cukai Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) ke atas pendapatan bercukai bagi 150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Anwar berkata pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga RM3,000 kepada setiap 150,000 pembayar cukai PMKS.

Kerajaan juga kataya menyediakan RM50 juta bagi membina dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.


Kerajaan cadang perkenal Cukai Barangan Mewah

4.26 petang: Anwar berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai BaranganMewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah. Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.

Selain itu, kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksaiske atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.


Kurangkan hutang kerajaan

4.20 petang: Anwar berkata kerajaan komited untuk mengurangkan hutang kerajaan kepada 3.2 peratus daripada KDNK menjelang 2025.

Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baru mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat.


Prospek ekonomi suram

4.15 petang: Anwar membayangkan prospek ekonomi yang suram pada 2023, dengan menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi global dijangka perlahan kepada 2.3 peratus.

Bagi Malaysia, Anwar berkata ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada 2022 disebabkan asas yang rendah pada 2021.

Bagaimanapun, dia menyatakan pertumbuhan suku ke suku berkurangan daripada 3.8 peratus kepada 3.5 peratus, 1.9 peratus dan -2.9 peratus sepanjang 2021.

Namun begitu, kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2023.


Hutang negara tinggi

4.10 petang: Menteri kewangan berkata hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.5 trilion - sekitar 81 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kira-kira RM46 bilion digunakan untuk membayar hutang. Ini berjumlah 16 peratus daripada hasil kerajaan - melebihi had 15 peratus.


Pendapatan lebih tinggi daripada anggaran

4.01 petang: Pendapatan RM291.5 bilion pada tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada unjuran.

Berbeza dengan dua tahun sebelumnya, kerajaan tidak akan memperuntukkan sebarang dana berkaitan Covid-19 yang masing-masing diperuntukkan sebanyak 5.3 peratus dan 6.9 peratus daripada Belanjawan 2021 dan Belanjawan 2022.


Belanjawan terbesar pernah direkodkan

4.00 petang: Belanjawan 2023 meningkat 16.3 peratus daripada tahun sebelumnya dan merupakan belanjawan terbesar pernah direkodkan - malah lebih besar berbanding belanjawan yang dibentangkan oleh menteri kewangan sebelum ini, Zafrul Abdul Aziz pada Oktober 2022.

Jumlah belanjawan bagi tahun 2023: RM386.10 bilion (↑ 16.3 peratus, 2022: RM332.1 bilion)

Perbelanjaan operasi: RM289.1 bilion (↑ 23.8 peratus, 2022: RM233.5 bilion)

Perbelanjaan pembangunan: RM97 bilion (↑ 29.3 peratus, 2022: RM75.6 bilion)

Pendapatan 2022: RM291.5 bilion (↑ RM234 bilion, 2021: RM234 bilion)

Unjuran defisit untuk 2023: 5 peratus (2022: 6 peratus [anggaran]