ULASAN | Pendidikan amat penting untuk faham serangan buaya
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa yang amat sedih di atas kehilangan nyawa manusia akibat serangan buaya baru-baru ini.
Ia juga amat sedih apabila media turut menggambarkan buaya sebagai penyangak yang menjadikan manusia sebagai mangsanya.
Bagaimanapun, buaya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ia adalah pemangsa utama yang kelangsungan hidupnya adalah berdasarkan naluri semula jadi untuk memburu mangsanya di habitatnya.
Walaupun buaya berbahaya, ia biasanya tidak memburu manusia.
Seperti mana-mana haiwan liar yang bertindak dengan wajar, ia berhati-hati terhadap manusia dan secara amnya hanya menggigit jika diganggu atau terkejut.
Tetapi sebagai pemangsa yang mengambil kesempatan, ia akan merebut apa sahaja yang ada untuk dimakan.
Buaya berisiko kerana serangan buaya terpencil tetapi dihebahkan biasanya mengakibatkan bantahan bagi penyembelihan buaya secara besar-besaran.
Seruan bagi memburu buaya itu menimbulkan kebimbangan kepada ahli biologi hidupan liar dan pemuliharaan yang takut bahawa ketakutan orang ramai terhadap buaya boleh mengakibatkan dendam terhadap reptilia ini.
Filem Jaws adalah salah satu contoh bagaimana ketakutan menjadi inspirasi kepada pemburuan jerung apabila terdapat hanya 64 kes serangan jerung tanpa provokasi yang dilaporkan, dengan lima kematian, di seluruh dunia pada 2019.
Menurut kajian, terdapat 164 kes serangan buaya antara 2000 dan 2020, purata 8 kes setahun.
Pihak yang ingin mengaut keuntungan daripada kulit buaya berkemungkinan memainkan isu konflik manusia-buaya untuk mewajarkan perluasan perdagangan mereka.
Tetapi perdagangan sah dalam kulit buaya ini hanya berfungsi untuk memberi insentif kepada pemburuan haram.
Keprihatinan terhadap keselamatan manusia tidak memerlukan pembasmian malah kurungan buaya ke kawasan terpencil atau ladang buaya.
Sehingga Disember 2022, dua puluh enam ekor buaya ditembak mati kerana kebimbangan manusia mengenai konflik buaya-manusia, demikian menurut Pengarah Hidupan Liar Sabah.
Dibunuh penguat kuasa
Buaya kadangkala dibunuh apabila pegawai penguat kuasa hidupan liar berusaha mencari mayat kanak-kanak atau orang dewasa yang hilang dipercayai dimakan reptilia ini.
Kadang-kadang mereka ditembak semata-mata untuk mengekalkan hubungan mesra dengan masyarakat tempatan yang takut buaya tinggal di kawasan mereka selepas seseorang hilang.
Pembunuhan rambang seperti ini mungkin menenangkan rakyat buat sementara waktu, tetapi ia tidak melindungi orang ramai.
Walaupun pembunuhan buaya mungkin wajar dalam kes yang agak jelas bahawa buaya tertentu telah membunuh manusia atau ternakan, ini jarang berlaku.
Sebaliknya, buaya sering dibunuh tanpa sebab yang lebih baik daripada untuk mengurangkan ketakutan manusia buat sementara waktu.
Malangnya, pemusnahan tidak terkawal ini telah menjadi kebiasaan kerana ketiadaan garis panduan atau protokol konkrit untuk mengendalikan jenis kes ini.
Seperti dalam kebanyakan kes konflik manusia-hidupan liar, apa yang mesti ditangani ialah tingkah laku manusia.
Konflik dengan buaya berlaku sebahagian besarnya kerana buaya dan manusia bersaing untuk sumber makanan yang sama dan, dengan pertumbuhan bilangan manusia, sumber makanan penting ini semakin berkurangan.
Pembersihan habitat riparian untuk pembangunan pertanian juga telah mengakibatkan kehilangan spesies mangsa buaya.
Pertumbuhan bilangan manusia menyebabkan persaingan untuk mendapatkan habitat antara buaya dan manusia.
Membunuh buaya tidak akan mengubah masalah ini kerana pengembangan manusia yang tidak terkawal menjadi habitat buaya yang semakin berkurangan merupakan punca kepada peningkatan konflik manusia-buaya.
Kewujudan bersama boleh dicapai melalui dasar yang mengubah tingkah laku manusia.
Ia adalah melalui pendidikan untuk mencegah pertemuan, dengan penyingkiran telur untuk mengawal bilangan buaya seperti yang diperlukan, dengan memantau buaya, dan dengan melaksanakan rancangan pembangunan yang lebih bertanggungjawab untuk melindungi ekosistem dan mengekalkan jarak antara manusia dan habitat buaya yang penting.
Untuk langkah jangka pendek, tanda amaran perlu diletakkan untuk menjauhkan orang ramai daripada buaya, dan pendidikan masyarakat harus dimulakan dengan segera.
Risalah boleh diedarkan kepada komuniti sasaran, dan program sekolah boleh dirancang untuk memberikan maklumat kepada komuniti tepi sungai tempatan.
Dengan pendidikan dan perubahan tingkah laku manusia yang terhasil, generasi akan datang akan berpeluang mengagumi buaya tempatan kita yang dianggap sebagai fosil hidup.
MOHIDEEN ABDUL KADER ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Tulisan init tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai