Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suami isteri menang saman terhadap bekas MP, dapat ganti rugi RM150,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishan membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas bendahari PKR Cabang Sungai Siput dan suaminya, yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan komersial.

Pesuruhjaya Kehakiman, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu berhubung saman sivil oleh dua plaintif, R Indrani dan S Selvakumar terhadap bekas ahli parlimen berkenaan.

Peguam pasangan suami isteri itu, Rueben Mathiavaranam mengesahkan keputusan prosiding petang ini.

Menurut Rueben, pasangan itu mengemukakan saman fitnah terhadap defendan kerana didakwa menerbitkan tiga penerbitan berunsur fitnah pada 4 Jun 2019.

Plaintif memfailkan saman sivil pada 7 Nov tahun yang sama.

Penerbitan itu didakwa terdiri daripada dua mesej gambar WhatsApp dan mesej suara WhatsApp, yang antara lain mendakwa pasangan itu menipu ramai ahli perniagaan.

“Mahkamah mendapati ketiga-tiga penerbitan itu berunsur fitnah terhadap plaintif dan tanpa sebarang asas.

“Defendan juga telah memfailkan tuntutan balas terhadap Indrani, mendakwa dia telah memfitnahnya dalam mesej suara berasingan yang dibuatnya. Mahkamah menolak tuntutan balas defendan kerana kekurangan bukti.

“Mahkamah kemudian memberikan ganti rugi RM50,000 kepada Selvakumar manakala Indrani mendapat ganti rugi RM100,000. Defendan diperintahkan membayar kos plaintif sebanyak RM40,000.

“Secara keseluruhannya, defendan diperintahkan membayar ganti rugi RM150,000 dan kos berjumlah RM40,000,” kata Rueben.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pasukan peguam Gobalakrishnan berhubung keputusan berkenaan.