Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SKMM buka kaunter aduan di parlimen untuk isu liputan internet, telefon

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuka kaunter aduan di Parlimen pada 6 dan 7 Mac untuk semua ahli parlimen membangkitkan masalah berkaitan liputan telefon dan sambungan internet di kawasan masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan menyedari aduan sedemikian, termasuk yang dibangkitkan oleh ahli parlimen dalam perbahasan mengenai titah diraja.

“Sebab itu, kepada semua ahli parlimen, saya ingin memaklumkan bahawa pada 6 dan 7 Mac, saya telah meminta kebenaran parlimen untuk membuka kaunter untuk SKMM menerima aduan daripada semua ahli parlimen.

“(Ini adalah) untuk mereka membawa semua aduan dan isu berkenaan, supaya kita boleh menanganinya. Ia akan menjadi seperti hari perkhidmatan pelanggan,” kata Fahmi dalam ucapan penggulungan kementeriannya.

Fahmi menjawab Willie Mongin (PH-Puncak Borneo), Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) dan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang membangkitkan isu liputan talian telefon dan internet yang menjejaskan kawasan mereka.

Willie sebelum itu membuat perbandingan antara ketersembungan di kawasannya dengan negara jiran Brunei dan Fahmi mengakui terdapat perbezaan yang ketara dari segi kualiti perkhidmatan.

“Kita tidak perlu pergi jauh, malah ketika saya bercakap dengan pemberita sebentar tadi di lobi parlimen, perkhidmatan internet adalah perlahan.

"Jadi dari sudut liputan, boleh ada liputan tetapi terdapat juga isu lain termasuk lebar jalur dan liputan dalam bangunan," kata Fahmi.

Selanjutnya, Fahmi menjelaskan bahawa antara langkah yang telah diambil oleh SKMM untuk menangani isu itu termasuk pemantauan berterusan terhadap kualiti perkhidmatan - khususnya di kawasan yang mempunyai aduan yang dilaporkan.

Dia juga berkata suruhanjaya itu telah mengaudit 3,080 kawasan di seluruh negara tahun lepas dan mengeluarkan 229 Arahan Suruhanjaya kepada penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan melibatkan 214 lokasi berbeza.

Daripada angka itu, Fahmi berkata kerja menaik taraf telah dijalankan bagi 157 Arahan Suruhanjaya, 32 masih dalam semakan, manakala tindakan sivil akan difailkan terhadap syarikat yang tidak mematuhi 40 Arahan Suruhanjaya.

Tambahnya, SKMM akan mengaudit 4,000 lagi lokasi di seluruh negara tahun ini bagi memastikan peningkatan keseluruhan dalam kualiti perkhidmatan yang disediakan.