Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahdzir umum pertahan jawatan naib presiden Umno

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid mengumumkan akan terus mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam pemilihan parti bulan depan.

Mahdzir berkata dia ingin terus memberi sumbangan kepada parti khususnya bagi membantu kepimpinan tertinggi menempuhi keadaan politik yang mencabar pada masa ini.

"Suka cita saya umumkan akan menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding dan mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

"Ketika ini Umno berada dalam situasi yang amat mencabar dan saya ambil pendirian untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti saya kepada parti ini.

"Saya menawarkan diri bersama-sama dengan saf kepimpinan untuk membantu kepimpinan tertinggi presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Presiden Umno (Mohamad Hasan)," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pemilihan kali ini, dia yang memegang jawatan itu sejak 2018 berkata akan bergerak secara sendirian tanpa menyertai mana-mana kem.

Mahdzir sebelum ini menjadi menteri pembangunan luar bandar di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, dia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap - yang dipegangnya sejak 2013 - pada PRU lalu, selepas tewas di tangan Nurul Amin dari PN dengan perbezaan 10,959 undi.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata dia membawa gagasan kebersamaan dalam pemilihan Umno kali ini bagi memulihkan semula parti.

"Kebersamaan itu penting, disiplin juga kena ada. Jadi, kebersamaan dan disiplin dalam parti penting untuk kita bawa. Perbezaan pendapat boleh dinyatakan tetapi apabila keputusan dibuat parti, kita akur," katanya.

Katanya lagi, dia telah menyerahkan borang pencalonan kepada sekretariat pemilihan di ibu pejabat Umno hari ini.