Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Hantaran FB oleh suami CJ bersifat peribadi'

Hantaran Facebook oleh suami Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada 2018 tidak mengandungi unsur permusuhan peribadi terhadap perdana menteri ketika ituNajib Razak, menurut penghujahan bertulis oleh pihak pendakwaan.

Dalam pemfailan di mahkamah untuk menolak permohonan semakan oleh Najib terhadap sabitan bersalah dalam kes rasuah SRC International mlaibatkan dana RM42 juta, pendakwa raya berhujah bahawa hantaran oleh Zamani Ibrahim itu adalah ulasan peribadi semata-mata berhubung senario politik yang membawa kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hampir lima tahun lalu.

Pendakwa raya berhujah bahawa Najib - yang sebelum ini tidak berjaya menyingkirkan Tengku Maimun atas sebab konflik kepentingan yang dikaitkan dengan hantaran FB berkenaan- tahu mengnai hantaran dalam talian itu dan tidak berbuat apa-apa mengenainya sehinggalah dia memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Tengku Maimun pada Ogos tahun lepas.

Mereka berhujah bahawa permohonan penyingkiran itu adalah usaha terdesak di saat-saat akhir untuk membatalkan rayuan SRC di hadapan panel hakim yang diketuai oleh Tengku Maimun ketika itu.

Panel hakim menolak rayuan Najib pada 23 Ogos tahun lepas, yang membawa kepada permohonan semakan di hadapan panel lima hakim berasingan di Mahkamah Persekutuan sekarang yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

“Hantaran itu tidak menunjukkan bahawa Zamani Ibrahim mempunyai permusuhan peribadi terhadap pemohon (Najib) tetapi ia adalah komen umum “rakyat” di Facebook,” kata penghujahan bertulis itu.

Semalam semasa pendengaran permohonan semakan berkenaan, ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa Tengku Maimun tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada panel hakim Mahkamah Persekutan sebelum ini kerana berlaku konflik kepentingan yang timbul daripada catatan FB itu.

Shafee berhujah bahawa ini boleh berlaku kerana hubungan rapat antara suami dan isteri, yang boleh membawa kepada perkongsian pendapat.

Dalam hujahan bertulis itu, pihak pendakwa raya seterusnya berhujah bahawa tiada kaitan antara hantaran FB pada 11 Mei 2018 dan rayuan SRC Najib yang didengar pada Ogos tahun lepas, menunjukkan tiada prosiding jenayah yang tertangguh terhadap bekas perdana menteri itu semasa hantaran itu dibuat.

“Responden (pendakwaan) menegaskan bahawa pergantungan semata-mata kepada hubungan suami isteri untuk menganggap pandangan Zamani dalam DSN-12 (nombor eksibit untuk hantaran di FB) sebagai pandangan Yang Arif Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun) adalah tidak munsabah dan tidak mencukupi untuk menunjukkan berat sebelah atau berat sebelah yang nyata.

“Terutama apabila pengaruh yang didakwa adalah berdasarkan hantaran empat tahun lalu sebelum pendakwaan SRC (bermula pada 4 Julai 2018),” kata pendakwa raya.

[Baca berita penuh]