Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hantaran FB suami CJ dibuat sebelum Najib didakwa kes SRC - DPP

Perbicaraan mengenai permohonan semakan oleh Najib Razak di mahkamah persekutuan untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta memasuki hari keempat.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, dijangka mendengar hujah bantahan daripada timbalan pendakwa raya, V Sithambaram hari ini.

Malaysiakini membawakan kepada anda laporan secara langsung prosiding berkenaan.


Prosiding ditangguhkan ke Isnin minggu depan

4 petang: Panel hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran hari ini dan disambung semula pada hari Isnin dan Selasa minggu depan.


Hantaran FB suami ketua hakim dibuat sebelum Najib didakwa dalam kes SRC - DPP

3.28 petang: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berhujah bahawa suami Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membuat catatan Facebook yang didakwa mengenai Najib Razak pada 11 Mei 2018, sebelum bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun yang sama berhubung kes rasuah melibatkan RM42 juta SRC International.

DPP menegaskan bahawa hantaran FB itu dibuat empat tahun sebelum Tengku Maimun yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, mendengar rayuan Najib berkaitankes SRC tahun lepas.

Sithambaram mempertikaikan dakwaan Najib bahawa dia hanya mengetahui mengenai hantaran itu pada 17 Ogos 2022, dan kemudian memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Tengku Maimun pada 22 Ogos tahun yang sama.

DPP berhujah bahawa ia tidak akan mempengaruhi perspektif Tengku Maimun berhubung rayuan itu. Mahkamah tertinggi ketika itu menolak rayuan Najib pada 23 Ogos tahun lepas.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada Disember 2021.


Prosiding disambung semula

2.39 petang: Mahkamah Persekutuan bersidang semula selepas waktu rehat tengah hari, dengan timbalan pendakwa raya, V Sithambaram meneruskan hujah membantah permohonan semakanoleh Najib Razak.

Permohonan semakan itu adalah berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta.


Prosiding berhenti rehat

12.45 tengah hari: Mahkamah persekutuan menangguhkan perbicaraan untuk waktu makan tengah hari, dan akan disambung semula pada 2.30 petang ini.


Peguam Najib tarik diri taktik untuk bicarakan semula kes SRC - DPP

12.16 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah bahawa permohonan peguam Najib Razak sebelum ini untuk menarik diri daripada pendengaran rayuan kes SRC tahun lepas adalah "taktik yang disengajakan" supaya kes rasuah SRC dibicarakan semula.

DPP merujuk kepada panel hakim mahkamah persekutuan ketika itu - diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - yang menolak permohonan peguam kepada bekas perdana menteri ketika itu untuk menarik diri daripada rayuan SRC.

"Adalah dihujahkan bahawa percubaan peguam bela itu menarik diri sebagai peguam dan keengganan untuk mengemukakannya adalah taktik yang disengajakan untuk mendapatkan perbicaraan semula dan sepatutnya dianggap sebagai menghina mahkamah," kata Sithambaram kepada panel hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Hakim besar Sabah dan Sarawak Abdul Abdul Rahman Sebli.


Peguam Najib bergantung pada hujahan di Mahkamah Rayuan: DPP

11.53 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menafikan dakwaan bahawa pasukan peguam Najib Razak sebelum ini tidak membawa sebarang hujahan semasa perbicaraan rayuan SRC tahun lepas.

DPP menegaskan bahawa peguam Najib ketika itu Hisyam Teh Poh Teik telah memaklumkan panel hakim ketika itu bahawa mereka akan bergantung kepada hujahan bertulis bekas perdana menteri itu yang difailkan di Mahkamah Rayuan.

Ketika perbicaraan kes SRC di Mahkamah Rayuan, mahkamah berkenaan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah RM42 juta SRC.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain dari firma guaman Shafee & Co mewakili Najib ketika kes SRC masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta ketika kes itu dirayu ke Mahkamah Rayuan.

Najib memohon untuk menukar peguam ketika rayuan di peringkat mahkamah persekutuan tahun lepas, sebelum pendengaran rayuan pada Ogos tahun lepas.


Prosiding disambung semula

11.40 pagi: Najib Razak, yang memakai sut biru dan bertali leher, masuk semula ke kandang tertuduh apabila prosiding di Mahkamah Persekutuan disambung semula.

Turut kelihatan duduk di galeri awam betul-betul di belakang kandang tertuduh ialah isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka Nooryana Najwa, yang masing-masing berpakaian warna krim dan biru.


Prosiding berhenti rehat seketika

11.18 pagi: Panel hakim menghentikan prosiding untuk berhenti rehat seketika.


Peguam Najib sebelum ini tiada ‘plan B" jika pengangguhan ditolak - DPP

10.29 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berhujah bahawa pasukan peguam Najib Razak yang dibawa untuk mengambil alih tugas berkenaan daripada peguam Muhammad Shafee Abdullah bagi pendengaran rayuan SRC tahun lepas - tidak mempunyai "Pelan B" sekiranya permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan tersebut ditolak.

DPP berkata pasukan peguam itu bersedia untuk rayuan utama selama enam hingga lapan minggu dan membaca kira-kira 30,000 muka surat rekod rayuan, tetapi peguam baru berkenaan terlalu yakin bahawa permohonan penangguhan akan dibenarkan.

Antara alasan bagi permohonan semakan SRC Najib sekarang adalah bahawa panel hakim sebelum ini telah menafikan permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan pendengaran rayuan SRC selama tiga hingga empat bulan bagi membolehkan peguam baru bersedia untuk rayuan itu.


Singkir Shafee strategi tangguh rayuan SRC Najib: DPP

10.15 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah bahawa penyingkiran peguam Muhammad Shafee Abdullah oleh Najib Razak dan tindakan mengambil peguam baru sebelum perbicaraan rayuan SRC tahun lepas adalah "langkah strategik" untuk menangguhkan pendengaran rayuan.

"Kami berkata demikian kerana (firma guaman) Tetuan Shafee & Co terus mewakili pemohon dalam kes (utama) 1MDB pada setiap masa yang relevan," kata DPP.

Kes rasuah RM2.18 bilion dana 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Salah satu alasan permohonan semakan SRC Najib sekarang ialah Mahkamah Persekutuan tahun lalu menolak permohonan bekas menteri kewangan itu untuk menangguhkan pendengaran rayuan SRC selama tiga hingga empat bulan bagi membantu peguam baru membuat persediaan berhubung rayuan berkenaan.


Najib tukar peguam untuk tangguhkan rayuan SRC: DPP

9.58 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berhujah bahawa Najib Razak berharsrat menangguhkan rayuan SRC tahun lepas dengan menukar peguam pada saat-saat akhir.

DPP menegaskan bahawa memandangkan bekas perdana menteri itu mengetahui apabila dia melantik peguam baru, Tetuan ZIST dan mereka akan memohon penangguhan, adalah dungu untuk melepaskan peguam terdahulu daripada Tetuan Shafee & Co, tanpa mengetahui sama ada rayuan itu benar-benar akan ditangguhkan, melainkan tujuan utama Najib adalah untuk menangguhkan pendengaran rayuan.

"Adalah dikemukakan bahawa pemohon (Najib) telah menunjukkan niat untuk menangguhkan rayuan dengan cara apa sekali pun atas alasan pelantikan peguam baru, yang mana rancangan itu akhirnya memakan diri," kata Sithambaram.


Najib sendiri yang cari nahas: DPP

9.43 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berhujah bahawa Najib Razak sendiri yang mencari nahas berhubung keputusan mahkamah persekutuan menolak rayuan kes SRC membabitkan bekas perdana menteri itu pada 23 Ogos tahun lepas.

DPP memberitahu panel hakim sekarang bahawa sebelum rayuan didengar tahun lepas, Najib berusaha untuk menukar peguamnya.

"Kamu sudah tahu kes itu akan tiba dan kamu datang ke mahkamah (kemudian memohon tiga hingga empat penangguhan pendengaran rayuan tetapi ditolak). Anda sendiri yang mencari nahas.

"Sekiranya kes ini (penangguhan berikutan pertukaran peguam pada saat akhir) dibenarkan, maka setiap pihak-pihak terlibat boleh (menggunakan alasan yang sama), preseden akan ditetapkan," katanya.

"Empat bulan, kemudian tukar peguam, jika tidak beri (penangguhan), maka jangan kemukakan, iaitu menjadikan mahkamah sebagai tebusan," kata Sithambaram.


Permohonan semakan hanya untuk kes yang jarang berlaku

9.24 pagi: Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berhujah bahawa kuasa Mahkamah Persekutuan untuk menyemak keputusan awalnya bukanlah kuasa mutlak di bawah Seksyen 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Dia berkata ia adalah terhad kepada "kes yang jarang berlaku" untuk mengelakkan ketidakadilan dan jika tidak, dia berpendapat ia akan menimbulkan "kekacauan".


‘Ironi peguam Najib tak kemukan hujah ketika rayuan SRC’

9.17 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah adalah sesuatu yang 'ironi' apabila pasukan peguam Najib tidak mengemukakan hujah semasa pendengaran rayuan kes SRC membabitkan bekas perdana menteri itu tahun lepas.

Sithambaram menegaskan apabila pasukan peguam tidak dibenarkan menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga hingga empat bulan, pemohon (Najib) tidak mengemukakan hujah.

"Mereka mengambil mudah bahawa akan ada penangguhan, itu bukan cara ia berfungsi, jadi perayu tidak boleh dikelirukan bahawa penangguhan akan diberikan sebagai hak," katanya, sambil mengatakan ia adalah dalam kuasa Mahkamah Persekutuan sama ada membenarkan penangguhan atau sebaliknya.


Prosiding bermula

9.14 pagi: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mula bersidang.

Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula.


Najib memasuki mahkamah

8.54 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak diiringi ke mahkamah persekutuan oleh pegawai dari Penjara Kajang.

Bekas menteri kewangan itu dilihat berada di galeri awam bagi menunggu prosiding bermula.