Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes Jana Wibawa: Dua ahli perniagaan akan didakwa esok

Dua ahli perniagaan dijangka didakwa di mahkamah esok berkaitan program Jana Wibawa yang kontroversi, menurut notis media yang dikeluarkan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Notis itu menyatakan kedua-dua individu itu akan didakwa masing-masing di Mahkamah Sesyen di Shah Alam dan Johor Bahru.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa terhadap dua individu berkaitan Jana Wibawa," kata notis itu.

Tiada maklumat lain didedahkan dalam notis media oleh SPRM itu.

Ini selepas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Awal hari ini, Wan Saiful didakwa atas dua pertuduhan rasuah; pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai 2022 dan 30 Sept 2022.

Sementara itu, Adam Radlan yang juga seorang ahli perniagaan didakwa meminta rasuah antara 3.5 peratus dan 7 peratus daripada nilai projek tersebut.

Kedua-dua kes itu dikaitkan dengan program Jana Wibawa, dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut disoal siasat oleh SPRM berhubung perkara berkenaan.

Jana Wibawa, akronim untuk ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’, merupakan program rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19 untuk kontraktor bumiputera.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin memperkenalkan program itu pada November 2020.

Parlimen diberitahu minggu lalu bahawa kerajaan telah membekukan projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion sementara menunggu siasatan.