Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Aib kehormatan wanita': AG digesa rayu pembebasan peguam

Seorang bekas pengamal undang-undang menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk membebaskan seorang peguam, yang didakwa telah mengaibkan kehormatannya.

Esok tarikh akhir untuk memfailkan rayuan itu.

Peguam pembantu Chan Yan Hui mendakwa bahawa mahkamah telah tersilap dalam membebaskan R Sivaraj pada 8 Feb.

Di bawah undang-undang, dia berkata majistret sepatutnya terlebih dahulu memanggil pengadu untuk hadir ke mahkamah sebelum membenarkan pembebasan.

“Tetapi dalam kes ini, tertuduh dibebaskan atas alasan pengadu tidak hadir di mahkamah.

“Pendakwa raya tidak meminta pertuduhan itu ditarik balik,” katanya kepada Malaysiakini.

Chan juga menegaskan bahawa timbalan pendakwa raya telah meminta tarikh perbicaraan lain ditetapkan.

Menurut peguam itu, anak guamnya, yang enggan dikenali, tidak menerima sebarang sepina mahkamah semasa perbicaraan berkenaan berlangsung.

“Dalam keadaan sedemikian di mana saksi tidak hadir di mahkamah, atau apabila timbalan pendakwa raya tidak meminta untuk menarik balik kes, mahkamah biasanya memberikan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

"Kami telah menulis surat kepada timbalan pendakwa raya untuk mengetahui sekiranya notis rayuan telah difailkan dan kami tidak tahu jika mereka (Jabatan AG) akan memfailkan rayuan," tambahnya.

Sambil menunjukkan bahawa notis rayuan mesti disampaikan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu, Chan berkata esok tarikh akhir untuk rayuan (22 Feb).

Sebelum ini, dilaporkan Sivaraj dibebaskan oleh mahkamah majistret kerana pengadu tidak hadir.

Pada 2 Mac 2020, Sivaraj didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan wanita itu di Hotel Armada pada 22 Jun 2019. Dia didakwa mengeluarkan kata-kata cabul terhadapnya.

Seksyen 509 berbunyi: "Barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya."

[Baca berita asal]