Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dakwaan Halimah hina OKU, guris hati pengusaha restoran - Presma

Kenyataan Dr Halimah Ali mengenai Menu Rahmah dan mengaitkannya dengan risiko kesihatan bukan saja menghina orang kurang upaya (OKU) malah mengguris hati pengusaha restoran.

Menurut Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) peniaga yang terbabit dalam inisiatif berkenaan kerana mahu membantu rakyat terutama golongan kurang berkemampuan - atau B40.

Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan berkata hidangan yang disediakan melalui Menu Rahmah bukanlah berkualiti rendah.

"Apa yang dimasukkan dalam Menu Rahmah adalah sama saja dengan menu-menu lain. Perbezaannya bukan pada kualiti, tetapi harga sahaja.

"Presma juga menegaskan, dakwaan kononnya ikan dalam Menu Rahmah digoreng berkali-kali adalah amat tidak berasas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Halimah Ali

Pada 14 Feb lalu Halimah mendakwa dia bimbang tahap kualiti makanan yang disediakan melalui Menu Rahmah adalah rendah

Keadaan itu dakwa Ahli Parlimen Kapar dari PN berkenaan mendedahkan pengguna kepada kemungkinan mendapat penyakit seperti kanser dan autisme.

Kenyataan itu dikritik pelbagai pihak termasuk NGO berkaitan austisme, pakar perubatan dan ahli perniagaan yang terbabit menyediakan Menu Rahmah.

Kenyataan undang kekeliruan

Semalam Halimah - yang juga doktor terlatih - menafikan dia mengaitkan Menu Rahmah dengan penyakit seperti kanser dan autisme. Malah dia meminta pihak yang tidak berpuas hati merujuk kepada catatan rekod rasmi parlimen berkenaan ucapan dibuatnya pada minggu lalu.

Jawahar Ali berkata sebagai peniaga mereka sentiasa mementingkan kualiti dan keselamatan makanan, malah memiliki sijil yang sah untuk mengendalikan makanan.

Justeru katanya tidak perlu Halimah membangkitkan isu yang "tidak munasabah" malah memberi tanggapan yang salah pada masyarakat.

"Menu rahmah dikatakan boleh menjadi penyebab kanser?

"Apa yang menjadi penyebab kanser ini? Ikan, sayur, nasi, ayam yang ada dalam Menu Rahmah sama dengan hidangan lain yang harganya lebih tinggi.

"Jadi apa sebenarnya maksud ahli parlimen Kapar mengenai punca kanser disebabkan menu rahmah?

"Juga dikaitkan dengan autoimmune disease dan autisme jika makan Menu Rahmah. Saya keliru dengan kenyataan Dr Halimah ini," katanya.