Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yii mohon Halimah dirujuk ke jawatankuasa parlimen

PARLIMEN | Dr Kelvin Yii hari ini mengemukakan usul agar Dr Halimah Ali (PN-Kapar) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Kata ahli parlimen Bandar Kuching itu kenyataan dibuat pemimpin PAS terbabit pada 14 Feb lalu boleh dianggap menghina parlimen.

Dalam surat yang dikemukakan Yii kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dia merujuk kepada perbahasan Halimah mengenai inisiatif Menu Rahmah dan mengaitkannya dengan ancaman kesihatan termasuk kanser dan autisme.

"Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja tidak berdasarkan fakta dan sains, tetapi boleh menimbulkan salah faham dan stigma terhadap masyarakat autisme serta orang kurang upaya (OKU) di Malaysia," katanya.

Semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pada hari tersebut bekas Halimah berkata dia tidak ada masalah dengan inisiatif yang dibuat kerajaan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga berkata: "[...] tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya”.

Semalam Malaysiakini melaporkan beberapa NGO berkaitan autisme menganggap Halimah tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan pemakananan dengan kelainan upaya individu autistik.

“Kenyataan Halimah memberi tanggapan yang salah kepada orang ramai, seterusnya menimbulkan stigma dan kepercayaan yang besar bahawa autisme berpunca daripada penjagaan yang kurang baik dan ditentukan oleh tahap pendapatan anda,” kata NGO terbabit.

Rujuk catatan hansard

Menurut Yii, autisme - juga dikenali sebagai autism spectrum disorder (ASD) - merupakan gangguan perkembangan saraf yang menjejaskan kemampuan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku individu.

"ASD adalah keadaan yang kompleks dan berlaku sepanjang hayat.

"Walaupun punca sebenar ASD belum difahami sepenuhnya, tidak ada bukti sama sekali yang menunjukkan bahawa pemakanan yang tidak baik menyebabkan autisme," katanya.

Tambah ahli politik yang juga doktor terlatih itu Halimah telah diberikan banyak peluang untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan dibuatnya beliau.

Namun, kata Yii, bekas exco Selangor semasa kerajaan Pakatan Rakyat itu tetap cuba "mengelirukan Dewan Rakyat" dan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Bahkah tambahnya Halimah menyuruh orang yang tidak berpuas hati agar merujuk ke hansard untuk membuktikan bahawa kenyataan tersebut tidak pernah dituturkan.

"Namun mengikut hansard pada 14 Feb lalu - serta rakaman video ucapannya - jelas menunjukkan dia mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut.

"Oleh itu, saya mencadangkan agar dewan ini merujuk Ahli Palimen Kapar ke Jawantankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 80(1), jawatankuasa terbabit - yang diketuai Johari dan serta enam ahli lain - akan mempertimbangkan sebarang usul yang dirujuk kepada mereka dan kemudian melaporkannya kepada Dewan Rakyat.

Jika didapati bersalah, ahli parlimen terbabit boleh dihukum mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.