Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP PAS minta kerajaan kawal selia pembalakan

PARLIMEN | Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) meminta supaya kerajaan mengawal selia industri pembalakan.

Sewaktu membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, ketua penerangan PAS itu meluahkan kembimbangan penduduk di kawasannya yang terpaksa berdepan dengan kesan pembalakan, iaitu gangguan oleh haiwan liar seperti harimau, beruang, gajah dan babi hutan.

“Saya mewakili warga rakyat Jerantut menyeru kepada warga kementerian yang bertanggungjawab untuk serius dalam memastikan pembalakan berlaku dalam keadaan yang terkawal, terutama dalam aspek penanaman semula.

“Pembalakan yang dilakukan secara haram wajib dihentikan serta-merta dan dikenakan hukum yang setimpal dengan kemusnahan (yang dilakukan) pihak tersebut.

“Yang berhormat sekalian, rakyat di Jerantut mendapat gangguan bukan kera dan bukan pencuri semata-mata, tetapi gangguan gajah, beruang matahari, babi hutan, harimau kumbang dan kadang-kadang harimau belang. Jadi ini dilema yang dihadapi apabila kita tidak mengawal selia pembalakan dengan baik,” katanya.

Dia juga membangkitkan kepentingan kawasan hutan di Jerantut yang menjadi sumber pendapatan penduduk sejak sekian lama.

"Contohnya Kampung Kuala Tahan, Kampung Ulu Tembeling...anak mudanya sering masuk ke hutan untuk menuai madu tualang, mengambil pokok petai dan herba," katanya lagi.