Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Shahidan cadang kerajaan larang media lapor berita dari 'sumber'

PARLIMEN | Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan kerajaan mengekang media daripada menyiarkan laporan yang memetik sumber tidak didedahkan identitinya.

Bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini bekas menteri Umno itu berkata larangan itu wajar bagi mengelakkan sebarang salah lapor daripada media.

Katanya kerajaan wajar menyekat penggunaan perkataan “sumber” dengan memberikan contoh ada menteri yang menyampaikan maklumat tertentu kepada media namun enggan namanya dipetik.

Sedangkan katanya maklumat yang diberikan itu memang benar, justeru mencadangkan agar nama menteri terbabit dilaporkan terus.

“Perkataan sumber ini adakah akan dipastikan supaya tak ada pemberitaan sumber tapi mengikut (identiti) sebenarnya?” soal Shahidan.

Menjawab pertanyaan itu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pengamal media perlu mencari titik keseimbangan dalam laporan mereka yang melibatkan sumber tidak didedahkan identitinya.

Menurutnya, ia bagi memastikan sumber yang dipetik itu memberikan fakta yang sahih dan tidak menimbulkan fitnah.

Pada masa sama kata ahli parlimen Lembah Pantai itu lagi kerajaan menyedari media atau wartawan mempunyai hak tertentu dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Cadang pinda akta

Mengulas lanjut, Fahmi memberi contoh laporan berita sebuah syarikat penyiaran, Awesome TV, yang menyiarkan berita kononnya kerajaan merancang untuk mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini.

Katanya, ia merupakan pelanggaran kali keenam oleh syarikat penyiaran terbabit, dengan daripadanya berlaku sewaktu pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Jadi kejap lagi jam 12.30 tengah hari ini, pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan bertemu dengan pihak Awesome TV kerana pelanggaran-pelanggaran ini berlaku waima dengan kerajaan sebelum ni juga.

"Justeru perlu ada perbincangan... selepas ini kerajaan akan jumpa dengan Awesome TV,” katanya.

Bagaimanapun dia sebelum itu berkata, bagi menangani pemberita yang tidak beretika dan gagal jujur dalam menerbitkan laporan - misalnya menyiarkan tajuk yang bercanggah dengan kandungan - kerajaan sentiasa memandang serius isu etika kewartawanan.

“Wartawan seharusnya berpegang teguh kepada prinsip dan etika kewartawanan dengan hanya melaporkan berita yang tepat lagi sahih selaras peruntukan undang-undang.

"Sebarang siaran maklumat yang tidak benar perlulah diperbetulkan segera dengan pemakluman kesilapan tersebut (errata).

“KKD mempunyai perancangan untuk meminda Akta 588, namun tidak bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk memantapkan kerangka kerja kawal selia berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian,” katanya.