Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli politik Anti-Lynas bimbang binaan PDF tak kekal lama

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang pernah menentang kilang Lynas menyambut baik pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk menuntut firma perlombongan Australia itu memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap (cracking & leaching) ke luar negara sebelum Julai.

Bagaimanapun, bekas ahli parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh bimbang kemudahan pelupusan kekal (PDF) - yang akan menyimpan sisa radioaktif yang dihasilkan Lynas sejak 2012 - akan membahayakan kesihatan warga Kuantan.

“Bagi orang Kuantan, PDF tidak boleh dibina di Gebeng, dan ia mesti mematuhi amalan terbaik.”

"(Radionuclides) dalam sisa radioaktif mempunyai hayat sehingga bilion tahun, oleh itu struktur PDF mesti bertahan sehingga ke akhirnya," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu mengingatkan Lynas supaya tidak bersikap double standard kerana sisa perlu dihantar semula ke lombong di Australia.

"Di Kalgoorie, Australia, mereka perlu menghantar semula sisa radioaktif ke lombong, tetapi apabila ia datang ke Malaysia, mengapa mereka mahu terus membuang di belakang rumah kita?"

“Kami tidak menentang (pengeluaran) nadir bumi, tetapi kami ingin bertanya mengapa double standard?” soal senator PKR itu ketika ditemu bual oleh Malaysiakini.

‘Hari bersejarah untuk pejuang anti-Lynas’

Ahli Parlimen PKR seperti Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Wong Chen (Subang), Tan Kar Hin (Gopeng) menyokong langkah yang diambil Mosti.

Lee menyiarkan gambar di halaman Facebooknya dan menyatakan bahawa: "Perjuangan anti sisa radioaktif telah 12 tahun ...... Banyak penyerahan memo, bantahan, dialog, forum malah perarakan, kami akhirnya mendapat beberapa keputusan hari ini."

"Saya tahu, kerajaan sekarang menghadapi banyak tekanan daripada kumpulan politik dan perniagaan antarabangsa, tetapi akhirnya kabinet membuat keputusan yang menghormati pendapat umum."

“Bagi rakan-rakan yang pergi protes, tidur di jalanan atau pun mogok lapar, saya amat berterima kasih. Perjuangan itu berbaloi!”

Sementara itu, Wong Chen menyiarkan tiga catatan Facebook berturut-turut untuk menyatakan penghargaannya terhadap keputusan Mosti.

“13 tahun yang lalu, saya dan isteri membuat beberapa lawatan ke Kuantan untuk menyertai kempen anti-Lynas. Hari ini adalah hari bersejarah bagi semua pejuang anti-Lynas.

“Ramai di antara kita berharap akhirnya kita mempunyai kerajaan yang mempunyai keazaman politik untuk menangani masalah alam sekitar yang serius ini untuk selama-lamanya," katanya.

Keputusan sukar menteri perlukan sokongan

Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat DAP Lee Chin Chen menggesa pemimpin kerajaan perpaduan dan masyarakat sivil bersatu dan menyokong keputusan sukar yang dibuat menteri Mosti Chang Lih Kang.

Sokongan diperlukan supaya Chang dapat menahan tekanan luar dan melaksanakan keputusannya, tegas Adun Bilut itu.

“Kerajaan perpaduan sekarang dibentuk oleh parti politik yang berbeza, termasuk parti komponen BN yang meluluskan operasi Lynas, oleh itu mereka mungkin mempunyai pertikaian dalam isu ini.

“Wakil rakyat dan NGO yang anti kemusnahan alam sekitar wajib menyokong Menteri Mosti, pastikan kabinet mengambil kira suara mereka, dan membantu menteri untuk melengkapkan fasa bersejarah ini.”

Timbalan speaker Pahang itu menambah Malaysia telah berkompromi dengan membenarkan Lynas membina PDF, justeru Lynas tidak seharusnya berkeras untuk mengekalkan kemudahan pemecahan dan larut lesapnya.

Lee juga mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati berurusan dengan syarikat antarabangsa pada masa hadapan, terutamanya yang melibatkan situasi antarabangsa yang rumit dan boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar.

Dilaporkan semalam kerajaan telah memperbaharui lesen operasi kilang pemprosesan Lynas di Gebeng, Kuantan selama tiga tahun, berkuat kuasa 3 Mac.

Bagaimanapun, lesen itu diperbaharui dengan syarat sama yang dikenakan pentadbiran Pakatan Harapan pada 2020.

Syarat utama termasuk memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap keluar dari Malaysia sebelum Julai ini, selepas itu ia tidak lagi dibenarkan mengimport lantanida pekat ke negara ini.