Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP PKR gesa tubuh JK Parlimen selesai isu kekurangan pekerja kesihatan

Kerajaan diminta mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan kesihatan awam.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata ia bagi menyelesaikan masalah kekurangan petugas kesihatan awam.

"Saya tidak mahu melihat kerumitan yang melanda sektor kesihatan awam dijadikan sebagai alat politik bagi sesetengah pihak yang hanya tahu mengkritik, mengherdik dan menunding jari kepada menteri mahupun ketua pengarah kesihatan.

"Kegawatan itu juga tidak boleh diselesaikan dengan perasaan amarah yang didorong dengan tindak tanduk yang boleh merencatkan apa jua usaha ke arah menambah baik ekosistem sektor kesihatan awam.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

"Saya mengharapkan agar pewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kesihatan awam dapat disegerakan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata bahawa memang mahu menyerap semua kakitangan kesihatan - termasuk doktor - yang berkhidmat bukan secara tetap menjadi kakitangan awam.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ada kekangan iaitu ketiadaan dana untuk melakukan pengambilan tersebut serta keterbatasan perjawatan.

Dia juga mengajak pekerja kesihatan yang berhasrat mengadakan mogok bersemuka dengannya bagi menyelesaikan masalah mereka.

Ubat sementara reda kesesakan

Katanya, mogok sahaja tidak menyelesaikan masalah.

Sementara itu, Yuneswaran yang juga ahli Majlis Tertinggi PKR berkata bahawa Jawatankuasa Parlimen tersebut boleh merangkumkan idea, pandangan serta komentar ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Bagaimanapun, dia berkata jawatankuasa itu tidak perlu diberi kuasa "mandate to execute”.

"Sekurang-kurangnya Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut dapat memikirkan ‘ubat’ sementara yang boleh meredakan sedikit kesesakan hospital yang diakibatkan oleh masalah kekurangan petugas," katanya.