Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Radzi saran undang-undang halang PM jadi menteri kewangan

PARLIMEN | Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) menyarankan kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang menghalang perdana menteri daripada memegang sebarang jawatan menteri terutama jawatan menteri kewangan.

Kata Radzi, pemusatan kuasa boleh meningkatkan risiko salah guna kuasa kerana tiada semak dan imbang.

Dia turut mengingatkan Dewan Rakyat bahawa perdana menteri terakhir memegang jawatan menteri kewangan ialah Najib Razak.

Dia kemudian berkata skandal yang berlaku di bawah kepimpinan Najib perlu dijadikan contoh mengapa perdana menteri tidak perlu mengendalikan kementerian lain.

"Saya ingin menyentuh tentang tadbir urus negara, khususnya berkaitan pemusatan kuasa kepada seorang individu bagi pengurusan kewangan negara.

"Kita seharusnya mengambil iktibar daripada pelbagai skandal kewangan maha besar yang berlaku pada zaman kerajaan Barisan Nasional, khususnya di bawah pimpinan Perdana Menteri keenam,” kata Radzi ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Pemimpin PN itu berkata manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 menyebut perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya menteri kewangan.

"Menyedari kesan buruk akibat pemusatan kuasa ini, ramai sahabat kita dalam PH ketika berada di blok pembangkang telah memperjuangkan supaya Perdana Menteri tidak turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan," katanya.

"Jelas, pemimpin Pakatan Harapan sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sebagai Menteri Kewangan.

"Tapi amat menyedihkan apabila YAB Tambun selaku Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan, sahabat semua senyap menikus," katanya.

Dia juga mencadangkan kepada perdana menteri untuk menarik balik kenyataannya mengenai pelantikan awal Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan bukanlah nepotisme kerana dia tidak akan menerima gaji.

Radzi menegaskan kenyataan sebegitu menggambarkan tidak salah bagi mana-mana menteri atau timbalan menteri melantik ahli keluarga mereka sebagai penasihat dalam mana-mana pentadbiran kerajaan.

Radzi melahirkan rasa kecewanya dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy baru-baru ini mengenai bagaimana perkhidmatan awam telah “kejang” (ossified) dan memerlukan pembaharuan.

Menurut Radzi, hujah Ramasamy adalah satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu.

"Sebab itu, saya begitu tersentak apabila membaca tulisan seorang pemimpin Pakatan Harapan, iaitu Timbalan Ketua Menteri, Pulau Pinang, P Ramasamy," katanya.

"Kenyataan ini melampau dan boleh menghancurkan keharmonian negara. Adakah Kementerian Dalam Negeri telah mengambil tindakan ke atas kenyataan berbaur perkauman ini?

"Selain itu, adakah kerajaan merancang untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan jumlah orang Melayu dalam perkhidmatan awam sepertimana yang didesak oleh Ramasamy," soal Radzi.