Shahrizat kembali, sah cabar ketua Wanita Umno - sumber
Bekas ketua pergerakan wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil kembali ke medan politik dan dijangka akan bertanding bagi jawatan lamanya pada pemilihan parti akan datang.
Beberapa sumber dalaman parti itu mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
"Tan Sri akan bertanding jawatan ketua wanita.
"Borang penamaan akan diserahkan ke ibu pejabat esok melalui wakilnya," kata sumber itu.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Shahrizat.
Bekas ketua Wanita Umno yang memegang jawatan itu sejak 2009 mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti tahun 2018.
Dia berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baru.
Dilaporkan sebelum ini bahawa penyandangnya Noraini Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatannya.
Pemilihan bagi jawatan-jawatan sayap Umno, termasuk Wanita, akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat mengalami kekalahan mengejut di tangan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar di kerusi parlimen Lembah Pantai, yang disandangnya sejak 1995.
Sejak itu, bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu tidak pernah bertanding dalam pilihan raya umum.
Bagaimanapun, perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi melantik dia sebagai penasihat khas kepada perdana menteri bagi hal ehwal pembangunan wanita dan sosial.
Keluarganya kemudiannya didakwa terlibat dalam National Feedlot Corporation (NFC) tetapi SPRM membersihkan Shahrizat daripada sebarang penglibatan.
Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan Shahrizat untuk memasuki gelanggang semula adalah disebabkan konflik dalaman dalam Wanita Umno berhubung kepimpinan Noraini.
"Ramai pemimpin dalam sayap wanita tidak berpuas hati dengan Noraini dan mereka mahu Shahrizat kembali," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai