Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP DAP gesa k'jaan adil beri peruntukan pada pembangkang

PARLIMEN | Seorang Ahli Parlimen DAP Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta supaya kerajaan bersikap adil dalam memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang kerana ia demi manfaat rakyat.

Mengimbas semula kepayahan sewaktu dirinya merupakan seorang Adun pembangkang pada 15 tahun lalu, Khoo berkata peruntukan amat terhad untuk berkhidmat kepada rakyat.

“… saya berpendapat bahawa kerajaan juga harus bersikap adil dan beri peruntukan yang sama kepada pihak pembangkang,” katanya yang mendapat sorakan ketika menyuarakan perkara itu.

“Bagi saya peruntukan bukan soal kerajaan atau pembangkang tapi untuk manfaat rakyat.

“Saya masih ingat 15 tahun lepas, saya dipilih sebagai Adun di Ayer Keroh tiada peruntukan, peruntukan kosong dan elaun Adun RM2,000 lebih saja tak sampai RM3,000..

“Macam mana nak berkhidmat untuk rakyat,” kata Khoo ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Khoo mencadangkan supaya Akta Pembangunan Kawasan Parlimen diluluskan di Dewan Rakyat supaya sistem yang lebih efektif dalam pembahagian peruntukan ahli parlimen dijadikan satu ketetapan undang-undang.

“Jadi bila kerajaan bertukar, semua dapat peruntukan.

“Dengan ada akta ini, ia dapat kukuhkan urus tadbir ahli parlimen supaya lebih telus, adil dan terbuka supaya tidak ada penyelewengan,” katanya.

“Saya ingin mencadangkan kepada perdana menteri mengenai peruntukan ahli parlimen… sungguhpun perdana menteri telah putuskan agar peruntukan ahli parlimen dipotong, tapi mohon agar masa akan datang supaya peruntukan itu ditambah,” kata Khoo lagi.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN Takiyuddin Hassan (gambar, bawah) pada 4 Feb lalu menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengurangkan peruntukan untuk ahli parlimen.

Ini selepas perdana menteri memaklumkan terdapat pengurangan elaun pembangunan untuk ahli parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar berkata pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa peruntukan kawasan untuk ahli parlimen penyokong kerajaan tahun ini telah dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta. Jumlah itu terdiri daripada geran langsung RM1 juta dan RM300,000 lagi untuk operasi pusat khidmat mereka.

Secara tradisinya, ahli parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan pusat sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika era pentadbiran PN, dilaporkan pada Feb 2021 bahawa ahli parlimen pembangkang diberi peruntukan RM100,000 sedangkan ahli parlimen kerajaan menerima RM3.7 juta.

Bagaimanapun, ahli parlimen pembangkang berkata tidak menerima "satu senpun" daripada peruntukan Belanjawan 2021 yang dikatakan itu.