Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan komited lakukan perubahan, kata Lee

PARLIMEN | Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberikan komitmen untuk membentangkan Kertas Putih Kesihatan menjelang Jun ini dalam usaha menangani kebimbangan dihadapi pekerja kesihatan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee, berkata isu tersebut dibangkitkan ketika dia bertemu dengan Zaliha pada Ahad lalu.

Kata Lee perjumpaan tersebut dibuat beberapa jam selepas dia dimaklumkan mengenai kemungkinan pekerja kesihatan akan mengadakan mogok disebabkan pelbagai kekangan yang dihadapi mereka.

"Saya rasa pertemuan dengan menteri itu sangat produktif dan memberangsangkan.

"Dia mendengar dan menerima pandangan dengan terbuka mengenai pelbagai isu yang ada di sebalik kemungkinan tindakan tersebut," katanya kepada Malaysiakini semasa ditemui di parlimen hari ini.

Menurut Lee lagi, Zaliha mengakui kebimbangan di sebalik apa yang berlaku itu memang benar-benar ada namun kerajaan dan dia sendiri memerlukan masa yang sewajarnya untuk memuktamadkan segala butiran berkaitan sebelum kertas putih tersebut disiapkan.

Zaliha Mustafa

Lee yang juga bekas ketua Pemuda DAP menjelaskan, dia sendiri menyatakan pandangan peribadinya kepada Zaliha agar menteri terbabit memberi keutamaan kepada pembentangan kertas putih berkenaan.

“Menteri menyambut baik apa yang saya nyatakan dan dia memaklumkan kepada saya, kertas putih kesihatan itu kini peringkat akhir.

"Masih ada masukan daripada pihak tertentu yang belum dibentangkan, justeru tidak adil dan terlalu awal untuk kertas putih itu dibentangkan sebelum ia dilengkapkan," katanya.

Pada masa sama Lee menyatakan keyakinannya bahawa langkah-langkah wajar sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Gembira jika tak berlaku

Terdahulu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya mengambil serius khabar angin mengenai kemungkinan pekerja kesihatan akan melakukan mogok kerana kecewa terhadap tekanan yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan negara.

Walaupun MMA tidak membenarkan sebarang mogok, Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata pihaknya memahami kekecewaan dan kelecuhan dalam kalangan pekerja kesihatan ekoran isu yang gagal diselesaikan sejak sekian lama.

“Isu yang mereka hadapi bukanlah perkara baru, ia sudah wujud sejak bertahun-tahun dan dengan sedikit atau tiada perubahan,” katanya.

Antara isu yang masih membelenggu pekerja kesihatan di negara ini ialah keterbatasan jawatan tetap untuk doktor kontrak tetapi pada masa sama pusat kesihatan awam berdepan dengan kekurangan kakitangan.

Lee berkata ciapannya yang mendedahkan kemungkinan mogok oleh pekerja kesihatan negara bukan dibuat untuk menakut-nakutkan sesiapa.

"Saya hanya boleh katakan MMA mengakui keresahan tersebut dan perasaan itu bukannya tidak berasas," katanya.

Menurut Lee lagi, jika memang benar khabar angin yang sampai kepadanya itu tidak berasas, ia adalah lebih baik daripada melihat bantahan tersebut benar-benar berlaku.

Katanya dia lebih suka menjadi orang yang menyuarakan sesuatu yang tidak berlaku berbanding hanya berdiam diri dan terpaksa memikul kekesalan jika mogok tersebut benar-benar terjadi.

“Jadi biarlah jika ia tidak berlaku, dan saya lebih suka kalau ia memang tidak berlaku,” katanya.

Sambil mempertahankan hak mana-mana pihak untuk melakukan mogok, Lee mengulangi pendiriannya bahawa tindakan sedemikian harus digunakan sebagai cara untuk memanfaatkan perubahan dasar.

Dalam konteks itu, katanya, ialah pembaharuan penjagaan kesihatan yang mendesak.

"Mogok mengejut adalah mogok tanpa hasil positif.

“Oleh itu saya tidak akan memberikan sokongan kepada mogok yang mengejut, terutama yang melibatkan sektor kritikal yang akan melibatkan nyawa,” katanya.

[Baca berita penuh]