Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lynas Malaysia berdepan separa penutupan menjelang Julai

Pengawal selia Malaysia meluluskan pembaharuan lesen operasi Lynas Rare Earths Australia di Malaysia, kata syarikat itu pada Selasa, tetapi tidak membatalkan syarat yang menghalangnya daripada mengimport dan memproses bahan larut lesap nadir bumi selepas 1 Julai.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar di dunia di luar China, perlu menutup bahagian cracking and leaching loji pemprosesan nadir buminya di Malaysia jika syarat itu tidak dikeluarkan sebelum itu, katanya dalam satu makluman kepada bursa.

“Selepas 10 tahun beroperasi dengan selamat di Malaysia, kami kecewa kerana syarat yang digunakan untuk lesen operasi 2020 kami kekal,” kata Ketua Eksekutif Amanda Lacaze dalam kenyataan itu.

“Kami akan teruskan dengan rayuan pentadbiran dan undang-undang untuk memastikan Lynas dilayan secara adil dan saksama sebagai Pelabur Langsung Asing dan majikan penting serta penyumbang kepada ekonomi Malaysia.”

Lynas menghasilkan Neodymium dan Praseodymium (NdPr) yang digunakan dalam magnet pada sektor berteknologi tinggi daripada kenderaan elektrik kepada aplikasi ketenteraan.

Lynas berkata dua ulasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mendapati loji itu berisiko rendah dan mematuhi peraturan berkaitan.

Lynas telah memohon kepada pengawal selia Malaysia supaya syarat berkenaan dikeluarkan kerana ia "mewakili variasi ketara daripada syarat di mana... Lynas membuat keputusan awal untuk melabur di Malaysia," katanya.

Saham firma itu dibuka kukuh 2.5 peratus pada A$8.50 (RM25.85) selepas jatuh sebanyak 8.2 peratus susulan laporan berita pada hujung minggu lalu yang mencadangkan lesen operasinya tidak akan diluluskan.

- Reuters