Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Syahredzan tak gentar jadi wakil kawasan Parlimen terbesar

WAWANCARA | Dengan jumlah hampir mencecah 700,000 orang, Bangi merupakan kawasan parlimen paling ramai penduduk di Malaysia. Namun ahli parlimennya, Syahredzan Johan - yang pertama kali memegang jawatan itu - tidak gentar dengan tanggungjawab yang digalasnya.

Sebagai seorang peguam, dia juga perlu membahagikan masa dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dan juga di mahkamah.

"Jadi biasanya saya akan luangkan satu atau dua hari untuk ke pejabat untuk selesaikan kertas kerja, seperti permohonan dan mesyuarat. Jika ada perkara yang perlukan perhatian, saya akan minta salah seorang pekerja untuk mengendalikannya atau jika ada permohonan untuk pengagihan dana, kita akan menilainya.

"Pada hari biasa, saya lazimnya buat lawatan ke sekolah atau program lain. Biasanya ada tiga atau empat program sehari dan ini tidak termasuk undangan acara di hujung minggu," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di pusat khidmatnya.

Selain membahas dan meluluskan undang-undang di Dewan Rakyat, para pengundi juga biasanya mengharapkan ahli parlimen membantu mereka misalnya jika berlaku musibah banjir atau tanah runtuh.

"Banjir adalah masalah di sini. Tidak semua tapi sebahagian kawasan. Mujurlah tahun ini tiada insiden banjir besar di mana paras air masuk ke rumah dan sekolah.

"Tapi kita hadapinya tahun lalu ketika saya bantu ahli parlimen sebelum ini, Ong Kian Ming. Ketika musim tengkujuh, risikonya ada jadi kita juga perlu menghadapinya," kata ahli parlimen DAP itu, sambil menambah kawasan parlimen Bangi juga berdepan masalah hakisan tanah.

Bangi merupakan kawasan Parlimen separa bandar, dari Bandar Damai Perdana sehinggalah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syahridzan telah menyatakan komitmen untuk menambah baik akses pengangkutan awam di sana.

Berasal dari Petaling Jaya, dia perlu memahami isu yang dihadapi penduduk yang kini diwakilinya.

"Saya ada masa untuk biasakan diri ketika dilantik sebagai wakil Ong pada Jun tahun lalu. Jadi saya ada peluang untuk bertemu penduduk di kawasan Parlimen ini.

"Tetapi seperti yang anda sebut, saya tak lahir dan membesar di sini. Saya bukan 'budak Kajang' atau 'budak Bangi', saya membesar di Petaling Jaya dan kini tinggal di Kuala Lumpur.

"Kita bercakap tentang 680,000 orang yang tinggal di satu kawasan parlimen, yang menjadikannya kawasan parlimen dengan penduduk paling ramai.

"Bangi adalah kawasan merangkumi kira-kira 49 peratus Melayu, 37 peratus Cina dan 11 peratus India. Ini bermakna ia adalah kawasan dengan penduduk yang pelbagai dengan keperluan yang juga pelbagai.

"Mujurlah, orang di sini mengalu-alukan. Mereka sentiasa sedia untuk beritahu saya tentang isu di satu-satu kawasan," katanya.

Menurut Syahredzan, dia memiliki hubungan kerja yang baik dengan tiga Adun di bawah Parlimen Bangi, iaitu Kajang (Hee Loy Sian - PKR), Sungai Ramal (Mazwan Johar - Amanah) dan Balakong (Wong Siew Ki - DAP), serta dengan ahli majlis dari DAP dan parti komponen PH yang lain.

"Pasukan saya juga orang yang sama yang bekerja (untuk Parlimen Bangi) sebelum ini. Jadi ada kesinambungan dari Ong kepada saya," katanya lagi.

Pada PRU lalu, Syahredzan menang dengan majoriti 69,701 undi dalam pertembungan lapan penjuru, meningkat sedikit berbanding majoriti yang diraih Ong pada PRU 2018, iaitu 68,768 undi.

Bagaimanapun, dia membangkitkan bahawa dari segi peratusan undi, kadar sokongan sebenarnya sedikit menurun.

"Terdapat penurunan daripada 65 peratus undi yang diperolehi Ong pada 2018 kepada 58 peratus undi.

"Ini bukan sesuatu yang unik tetapi sebenarnya trend nasional jika anda melihat di kawasan PH menang pada 2018 dan bandingkannya dengan 2022, terutama di kawasan yang ada ramai penduduk Melayu, terdapat penurunan sokongan terhadap kami dan Umno/BN, manakala peningkatan bagi PN.

"Ini tetap sesuatu yang merisaukan. Tugas kami adalah untuk meningkatkan standard kehidupan kepada rakyat agar politik negatif seteru kami tidak menjadi semakin kuat," katanya lagi.

Bahagian 1: Syahredzan: Keputusan di luar jangka beri peluang M'sia bergerak ke depan