'Pertumbuhan kukuh KDNK 2022 tanda pemulihan keyakinan pada ekonomi'
Pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus bagi tahun 2022 menunjukkan pemulihan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.
Anwar berkata pencapaian pertumbuhan 8.7 peratus itu disokong oleh prestasi ekonomi yang kukuh pada suku keempat 2022 yang antara lain melihat pemulihan perbelanjaan dan pelaburan swasta, penurunan pengangguran serta pengukuhan mata wang ringgit.
“Dengan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, Belanjawan 2023 akan menggariskan strategi kerajaan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta keyakinan sektor swasta bagi meneruskan momentum pertumbuhan yang dicapai pada tahun 2022 demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) malam ini.
Menurut kenyataan itu, ekonomi Malaysia bagi 2022 merekodkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.7 peratus, mengatasi jangkaan 6.5 hingga 7.0 peratus yang dibuat pada Oktober 2022.
Prestasi pertumbuhan ini juga jauh melebihi pertumbuhan ekonomi 3.1 peratus yang dicapai pada 2021, jelasnya.
Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan prestasi kukuh pada suku keempat 2022 adalah permintaan domestik terus dipacu oleh penggunaan swasta yang disokong oleh prospek pasaran buruh yang lebih baik dan keyakinan perniagaan yang kekal positif.
“Pasaran buruh mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.6 peratus pada suku keempat 2022 berbanding 3.7 peratus pada suku ketiga 2022,” tambah kenyataan itu.
Ringgit semakin mengukuh
Kenyataan itu turut menjelaskan Ringgit Malaysia yang juga menjadi indikator ekonomi turut bertambah kukuh 5.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat, malah ringgit telah turut kukuh berbanding mata wang negara rakan perdagangan utama.
Indikator seterusnya adalah perdagangan luar yang terus mencatatkan pertumbuhan dua digit di samping prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan.
“Jumlah dagangan berkembang sebanyak 14.8 peratus kepada RM718.7 bilion dengan eksport dan import kasar masing-masing meningkat sebanyak 11.8 peratus dan 18.7 peratus.
“Malaysia merekodkan FDI bersih sebanyak RM19.3 bilion pada suku keempat 2022 berbanding RM12.3 bilion pada suku ketiga 2022,” menurut kenyataan itu.
Pertumbuhan KDNK negara dijangka menjadi sederhana pada 2023, sejajar dengan tinjauan ekonomi global terkini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia menurun daripada 3.4 peratus pada 2022 kepada 2.9 peratus tahun ini, tambah kenyataan itu.
Terdahulu hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ketika mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia menjelaskan angka 8.7 peratus itu adalah pertumbuhan tahunan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 22 tahun, yang disumbangkan oleh peningkatan positif dalam semua sektor.
Dalam satu kenyataan berasingan pula, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan KDNK negara berkembang sebanyak tujuh peratus pada suku keempat 2022 berbanding 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, berikutan sokongan daripada langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurangan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai