Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ganja perubatan: PM masih tunggu cadangan KKM

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan masih belum memutuskan sama ada akan membenarkan dari segi undang-undang, penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dalam negara.

Beliau berkata kerajaan masih menunggu cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Setakat ini kita belum melihat perkara ini secara serius, kita tunggu cadangan nanti. Isu ini turut melibatkan aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita di hari terakhir lawatan rasmi dua harinya ke Thailand hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas persoalan sama ada kerajaan akan meneruskan atau menghentikan penyelidikan berhubung penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Ogos lepas Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja di Thailand, turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, di samping melihat kerangka undang-undang yang berkaitan dengannya.

Khairy Jamaluddin

Khairy dilaporkan berkata kerajaan kemudiannya akan mengkaji pengalaman Thailand dalam perkara itu untuk disesuaikan dengan konteks di Malaysia, sebelum memutuskan sama ada akan membenarkan atau tidak penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

- Bernama