Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dakwaan guru dakwah murid peluk Islam: Ibu bapa jumpa pengetua, pegawai KPM

Ibu bapa kepada pelajar tingkatan tiga yang dikatakan cuba ditukar agama oleh seorang guru telah bertemu dengan pengetua sekolah dan pegawai pendidikan daerah berhubung dakwaan itu.

Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa mesyuarat itu berlangsung pada 8.30 pagi tadi di sekolah tersebut di Kuala Lumpur.

Malaysiakini juga melawat sekolah itu dan cuba bercakap dengan pengetua secara peribadi, tetapi permintaan itu ditolak kerana pengetua tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Menurut Arun, pengetua itu sendiri menghubunginya petang semalam meminta untuk berbincang dengan ibu bapa bersama pegawai jabatan pendidikan daerah Bangsar Pudu.

Ini berhubung guru yang didakwa menyuruh salah seorang pelajarnya memeluk Islam bagi meningkatkan peluangnya menjadi pemain bola sepak kebangsaan, yang dilaporkan Malaysiakini semalam.

“Ibu bapa memberitahu pengetua itu bahawa pada pendapat mereka, guru berkenaan tidak sepatutnya berdakwah dalam kumpulan WhatsApp rasmi yang diwujudkan untuk tujuan pendidikan.

“Mereka berkata tindakan guru itu tidak boleh dipandang ringan atau dianggap hanya gurauan.

"Mereka juga menegaskan kepada pengetua tersebut bahawa guru itu telah berdakwah kepada anak mereka sejak enam bulan lalu, menyebabkan remaja berkenaan menjauhkan diri daripada agamanya sendiri," kata pengerusi itu.

Peluang tipis guru-murid interaksi

Arun menyifatkan pertemuan itu berlangsuang dalam suasana penuh beradab. Bagaimanapun, kedua-dua pihak sekolah dan pegawai pendidikan daerah menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengambil sebarang tindakan setakat ini kerana masih dalam siasatan polis.

Buat masa ini, semua pihak bersetuju bahawa pelajar itu tidak lagi duduk di mana-mana kelas yang diajar oleh guru tersebut, kata Arun.

"Pengetua itu juga memberi jaminan kepada ibu bapa berkenaan bahawa, memandangkan kanak-kanak tersebut akan memasuki tingkatan empat dalam masa sebulan, guru yang disebutkan itu secara amnya tidak akan mengendalikan mana-mana kelas tingkatan atas jadi peluang mereka untuk berinteraksi semula adalah tipis," tambahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

“Polis telah merekodkan keterangan daripada beberapa saksi dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya

KPM akan siasat

Kementerian Pendidikan pada satu kenyataan berkata pihaknya telah menerima maklum balas awal daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur berhubung dakwaan itu.

KPM berkata siasatan awal telah dijalankan serta-merta untuk mengesahkan kesahihan maklumat itu.

Hal agama, tegas KPM tidak boleh dijadikan persendaan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan negara.

“Sehubungan dengan itu, siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan persendaan kaum atau agama.

“KPM juga tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan sekolah khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama,” katanya.

Sementara itu, Arun memberitahu Malaysiakini bahawa ibu bapa telah bersetuju untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kejadian itu memandangkan siasatan polis masih berlangsung.

[Baca berita asal]